Thursday, November 5, 2009

DR HASAN ALI (PENGERUSI PAS SELANGOR) sewajarnya meletakkan jawatan apabila tindakan menjadi duri dalam daging terdedah!!!!!!

Tindakan tegas harus diambil kepada ‘kepala’ Jais — Chegubard
Posted by RAKYAT MARHAEN


NOV 6 — Bukan satu yang rahsia “Majlis Keselamatan Negara” di Selangor yang dianggotai SPR, SPRM, polis dan beberapa agensi kerajaan lagi terlibat membincangkan bagaimana menjatuhkan Kerajaan Pakatan di Selangor. Ia telah didedahkan tetapi tiada penafian yang konkrit dari pihak terbabit. BN Selangor yang dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak sendiri setelah menyedari kelemahan dan ketamakan Datuk Khir Toyo tidak langsung berselindung dalam usaha menjatuhkan Kerajaan Selangor.

Terbaru ialah tindakan Jabatan Agama Islam Selangor yang melakukan tindakan yang bercanggah dengan polisi dan dasar Kerajaan Selangor. Tangkapan terhadap Dr Mohd Asri Zainul Abidin, bekas Mufti Perlis secara jelas mengikut telunjuk politik, malah penguat kuasa Jais yang terlibat dalam operasi tangkapan tersebut juga panik. Berdasarkan kenyataan media YB Zuraidah yang berada di tempat kejadian secara jelas pegawai Jais terlibat tidak dapat menjelaskan tindakan mereka sebaliknya asyik menelefon “pihak tertentu” untuk mendapat arahan lanjut.


Sebaik sahaja tangkapan dibuat blog-blog pro Umno (baca: upahan Umno) telah bersungguh-sungguh melakukan “spin” dengan menyalahkan Kerajaan Negeri kerana tangkapan tersebut, sedangkan kita sendiri tahu sememangnya negeri Pakatan Rakyat berdepan masalah dengan agensi kerajaan seperti jabatan agama yang lebih mengikut telunjuk kerajaan pusat.
Namun bagi cheGuBard, Tan Sri Khalid Ibrahim harus melihat perkembangan ini dengan serius. “Kepala” Jais harus dipanggil dan diminta memberikan penjelasan wajar. Jika gagal tindakan serius harus diambil termasuk memecat. Atas mandat rakyat Menteri Besar harus mempersembahkan secara terbuka kepada DYMM Sultan Selangor mengenai perkara ini.


Agen-agen Umno yang berlegar dalam agensi penting kerajaan harus dibuang segera. Menteri Besar dan barisan Exconya seharusnya bertindak tegas dan berani. Mereka harus menggunakan peluang ini untuk keluar dari imej “lambat” yang sering di label oleh pihak tertentu.


Contoh lain Menteri Besar seharusnya melihat juga agensi seperti Yayasan Selangor yang menjadi tempat berkubang “agen-agen” Umno ... Malah dilaporkan kakitangan pro Kerajaan Negeri telah “dianak tiri” di beberapa agensi seperti ini.

Dalam perkembangan lain, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Hasan Ali seharusnya bertanggung jawab dengan tampil ke depan menjelaskan pendedahan beberapa blog (pro Pakatan Rakyat dan pro Umno) yang mendedahkan hubungan beliau dengan Umno.
Blog Umno-Reform.com secara jelas menyebut beliau terlibat mempergunakan GERAK (NGO anti rasuah yang ditubuhkan Ezam) untuk menyerang Menteri Besar.

Blog PerisikRakyat.com secara jelas menyebut beliau dan beberapa pemimpin PAS lagi terlibat berjumpa dengan pemimpin Umno dan blogger Umno dengan mendedahkan perkara yang sepatutnya dirahsiakan. Jika tidak mampu memberikan penjelasan, maka tidak perlu diambil tindakan seharusnya dengan maruah Hasan sewajarnya meletakkan jawatan apabila tindakan menjadi duri dalam daging terdedah.


Menteri Besar juga seharusnya dengan berani mengakui kesilapan-kesilapan kecil sebelum ini dan bersama dengan kerangka besar Keadilan serta Pakatan untuk memacu Selangor. Isu seperti pengurusan pasir harus diakui kelemahan dan perlu diperbetul segera untuk mengelakkan ia menjadi barah.

Tidak dinafikan jika dibezakan dengan kerajaan lalu dibawah BN, Kerajaan Selangor di bawah Pakatan ini lebih baik namun sedarilah hakikatnya harapan rakyat adalah lebih dari itu.