Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Dalam Jalur Perjuangan "Political Islam"
Puluhan
ribu manusia yang membanjiri bumi Kelantan persis pengkebumian almarhum
Ustaz Fadzil Noor, pada usia lebih muda, 65 tahun (13 Mar 1937 - 23 Jun
2002) ketika memimpin Parti Islam SeMalaysia, PAS selaku Presidennya
(1989-2002).
Telah
banyak naratif tampil daripada pelbagai sisi tumpuan pengkisahan
hidupnya. Pelbagai istilah molok cuba untuk dipakaikan kepada sosok
tubuh ulama hebat ini. Satu jilid besar sirah hidup Tok Guru juga tidak
mencukupi untuk diabadikan riwayat sang murabbi-murshid-‘abid ini.
Lalu
penulis tidak malu dan silu untuk memohon pihak berkuasa mahupun pihak
korporat ataupun individu supaya cuba memperuntukkan dana yang selesa
menerbitkan sebuah biografi pemimpin ulama-umara hebat ini.
Pentingnya, kualitinya tidak harus dikompromikan setanding biografi founding fathers, bahkan tokoh-tokoh pemimpin dunia yang pernah tampil di muka bumi ini.
Penulis
bukan jenis manusia ‘pengkagum’ tetapi untuk Tok Guru, hujahnya ketara
dan nyata. Ya, penulis sedar Tok Guru bukan maksum dan tidak pula
menerbitkan teori-teori baru ekonomi dan kewangan Islam. Namun
penghayatan dan penyerlahan ‘tasawur dan maqasid’ ekonomi dan Kewangan Islam dalam tadbir-kelola pemerintahannya itu wajar terus ditekuni dan dirakamkan.
Telah
banyak naratif tampil dari pelbagai sisi tumpuan pengkisahan hidupnya.
Pelbagai istilah molok cuba untuk dipakaikan kepada sosok tubuh ulama
hebat ini. Ada yang menobat Al-Marhum sebagai ‘Ikon’, ‘Mutiara’, ‘Satu
dalam Sejuta’, ‘Manusia Gunung’ dan sebuah ‘Bintang’ yang kini malap
kerdipannya ketika Tok Guru kembali ke rahmatulLah. Kehebatan menangkis
serangan 3 Perdana Menteri untuk menawan negeri Kelantan yang
ditadbirnya 23 tahun, melayakkan Tok Guru diberi jolokan ‘The Giant Slayer’.
Walaupun
bukan dari parti pemerintah persekutuan, pemikiran, tatakelola politik
yang bersih serta penuh integriti dan juga kehidupannya yang serba
sederhana, sangat penting untuk diteladani generasi pewaris.
Fokusnya
bukanlah untuk periwayatan dan penonjolan naratif, tetapi maqasid
utamanya adalah pencerakinan sebuah pemikiran, bertema-teraskan
“Politikal Islam Dalam Sebuah Masyarakat Majmuk”.
Atas
pengamatan penulis yang telah berpeluang bukan sahaja hidup dibawah
pimpinannya, malah juga bekerja dan ‘belajar’ secara langsung dengan Tok
Guru, mahu sahaja penulis syorkan dengan penuh yakin agar Tok Guru
dinobatkan sebagai “Mujaddid Zaman”, sekiranya diizinkan Ilahi dan
disokong umat Islam terkini.
Dunia kontemporari telah menyaksikan penampilan Politikal Islam dalam pelbagai model dan eksperimen (tajribah)
di serata dunia. Politikal Islam, takrif ringkasnya, disepakati sebagai
“projek menjayakan Islam dan penghayatan syariat sebagai teras
pemerintahan di dalam kerangka negara moden”. Satu snapshot mutakhir kedudukan gerakan Islam wajar dirakamkan.
Erdogan
dan AKP pula pastinya tampil sebagai gerakan Islam yang cukup moden dan
sofistikated. AKP tidak mempedulikan sangat status “gerakan Islamnya”
berbanding perlaksanaan program, agenda dan objektif mereka.
Berpandukan road-map partinya, Erdogan lantas
merintis jalan-jalan baru yang tidak konvensional yang penuh risiko.
Kini AKP mula meraih pulangan pelaburan berisiko tinggi itu.
Satu
lagi keterampilan gerakan Islam yang turut mewarnai naratif Politikal
Islam kontemporari dipimpin Sheikh Rashid Ghanoushi. Suaka politik di
United Kingdom diakhir tahun 80an tamat apabila kembali memimpin
an-Nahdah. Beliau menang pada pilihan raya umum tahun 2011, tetapi
kemudian kalah ketika menyerah kuasa pemerintahan kepada rakyat ketika
didesak seteru pada 2014 secara damai dan demokratik.
Sesuai dengan penegasan sebuah Qawaid Fiqhiyyah: “Tasharruful imam ala ra’iyyah, manutum bil maslahah’ yang
bermaksud “Tindak-rencana dan advokasi polisi Imam atau para pemimpin
adalah tergantung dan bersesuaian dengan kemaslahatan rakyat yang mereka
pimpin”. Begitulah kira-kira ketetapannya.
Sebab itu hukum asal muamalat itu harus (mubah).
Perkara ini adalah sebaliknya dalam perihal akidah atau akhlak, yang
sifatnya tetap, tidak berubah dan tidak fleksibel. Akidah dan akhlak
tidak tertakluk kepada ijtihad justeru berubah zaman dan realiti
kehidupan yang moden.
Nah,
dengan catatan pengantar di atas penulis ingin membuat komentar tentang
kepimpinan Politikal Islam Tok Guru. Penulis hanya mampu memberi
contoh-contoh secara selektif.
Terpenting, Tok Guru sangat konsisten dan tabah mendukungi teras dan prinsip Islam sebagai rahmat lil ‘aalamin.
Politik Islam olahannya terpasak di atas paksi dakwah Islamiyah,
sekaligus menghapuskan polemik jurang “politik vs dakwah”. Kedua anasir
ini seiring dan sebati serta menonjol dalam pemikiran siasahnya.
Meskipun Tok Guru tidak dikenali sebagai ideolog parti,
tetapi penghayatnnya jelas mencerminkan peranan dan kedudukan itu. Tok
Guru juga dilihat oleh samada kawan ataupun lawan sebagai seorang
pemimpin yang mengotakan kata-katanya atau walk the talk (cakap serupa bikin) dan punya daya ‘enterprising’ yang segar dalam garapan Siasah dan Dakwah.
Tindakan
Tok Guru menyantuni para selebriti seperti Konsert Mawi di Kota Bharu
dan pelbagai program ‘engagement’ dengan kelompok bidang seni sekaligus
menjadi pendorong kepada trend penghijrahan golongan ‘selebriti’ di
negara ini. Sedikit waktu terdahulu, ada pihak ‘agamawan' yang kurang
menyenangi PAS mengambil pentas tersebut bahkan berpolemik tentang muzik
dan seni dalam Islam.
Penulis
menanti sepuluh tahun untuk merealisasi resolusi Seminar Seni-Budaya
anjuran Pusat Penyelidikan PAS, untuk menubuhkan Lujnah Seni dan Budaya
PAS Pusat pada tahun 2012 yang di rasmikan khas oleh Tok Guru, dalam
pelancaran program ‘Konsert Artis Hijrah’ sempena Muktamar ke-58 di Kota
Bharu, Kelantan.
Penglibatan
politiknya yang bermula sejak 1967 meletakkan Tok Guru amat peka dengan
dinamika politik negeri dan negara bahkan dunia seanteronya. Evolusi
tahapan pemikirannya disegi penggarapan perjuangan lebih menyerlah
ketika mengemudi PAS selaku Murshidul ‘Am parti.
Kerap
Tok Guru mengingatkan kepimpinan dan aktivis untuk mendahulukan dan
mengutamakan mesej Islam dari kepentingan kepartaian. Apabila Islam
dibela maka PAS akan turut didukungi bersama, tegasnya.
Di
negara yang fahaman rasisme dan asabiyyah Melayu sangat tajam dan
mendalam, bahkan menjadi modal politik bagi meraih sokongan untuk kekal
berkuasa, doktrin ketuanan Melayu mewarnai ideologi dan advokasi polisi-polisi pemerintah.
Penentangan Tok Guru secara tidak berbelah bagi, layak menjadikannya lambang atau ikonpendobrak asabiyyah paling lantang dan konsisten. Rasisme, sejak berzaman dan khasnya semakin terserlah mutakhir ini, dengan repackaging baru
atau transformasi kepada ketuanan Melayu-Islam (seperti yang ditaja
oleh beberapa badan NGO yang pro-BN), dijadikannya sasaran untuk
didobrak, dikalahkan dan disingkir dalam pencerahan mesej politik dan
dakwah Tok Guru dan PAS yang dipimpinnya.
Lebih terperinci, kalau ada yang mendakwa mereka yang memulakan pendekatanengagement dengan
kaum bukan Islam dan bukan Melayu untuk meruntuhkan tembok-tembok
pemisah atas garis ras dan kaum, maka wajar memerhatikan Tok Guru.
Siasah Tok Guru berjalan serentak dan seiring dengan dakwahnya bermula
sejak pemerintahannya, awal 90an.
Tahaaluf Siyasi atau koalisi politik juga
bukan fenomena yang baru bermula dengan kemenangan besar pembangkang
selepas PRU ke-12 pada 2008, lantas menubuhkan Pakatan Rakyat. Tok Guru
sangat prihatin memecahkan halangan ras dan rintangan kaum serta
sentiasa bersedia untuk berkoalisi sebagai pendekatan siasahnya bagi
mendepani cabaran kuasa pemerintah. Bahkan tahaaluf-lah yang meletakkan
Tok Guru ke tampuk kuasa sejak 1990.
Tok
Guru adalah perintisnya, hasil tekunan dan ijtihadnya, untuk menjayakan
perjuangan politiknya dan penyebaran dakwah Islamnya. Pemimpin ini
jelas menyerlahkan erti dan kefahaman tuntutan Siasatud-Dakwah,
istilah gerakan Islam, yang tidak begitu popular di kalangan pimpinan
PAS berbanding di negara Arab atau golongan Islamis di Indonesia.
Maksud
mudahnya, dalam langkah siasah terangkum perhitungan dakwah sementara
penganjuran dakwah sentiasa bermatlamatkan meluaskan tapak sokongan
siasah. Tidak pernah wujud konflik, pertembungan, jauh lagi kecelaruan,
seperti yang selalu dipolemik sesetangah pihak kononnya, terlalu banyak
bersiasah atau sebaliknya, kritikan tidak peka dengan dakwah!
Sangat
tepat dan mudah jalur pemikiran Tok Guru. Tegasnya, penulis telah lama
memerhatikan Tok Guru inilah ulama haraki yang punya penguasaan (isti’ab) terhadap realiti politik pelbagai tuntutan, yang saling bertentangan (mutually exclusive)
di kalangan masyarakat plural, yang majmuk di negara ini. Tok Guru
tetap bertegas dan tidak mengundur, namun bijak dan licik (savvy)
menangani realiti ini.
Tok Guru jelasnya ‘tidak bermudah-mudah dan tidak pula memberat-beratkan’ dalam uslubatau pendekatan Dakwahnya, cerminan pendirian ‘Wasatiyyah’ sebenar dalam Islam.
Tok
Guru tidak takut dikritik ketika hadir menziarahi kematian Sami Buddha
yang terkemuka. Tok Guru menghadiri tempat ibadat seperti tokong dan
keramaian budaya di restoran-restoran besar di kalangan kaum Tionghua
meskipun arak serta hidangan yang kurang ‘menyenangkan’ di mata
masyarakat ummat Islam persis Hassan Al-Banna, pengasas Ikhwan Muslimin,
yang menyatuni dan berdakwah kepada anak muda Mesir di pusat-pusat
hiburan di bandar-bandar di Kaherah.
Bahkan
Tok Guru dikatakan memberi keutamaan meraikan program seumpama ini,
seandainya bertembung dengan perihal pentadbiran yang lain.
Kerap
Tok Guru memulakan ucapannya di hadapan kaum Tionghua dengan ayat-ayat
al-Quran yang releven dan sesuai dengan tujuan dakwahnya. Contohnya,
kerap Tok Guru mengungkapkan ayat 13 Surah Hujurat yang menekankan
manusia dari datuk dan moyang yang sama yakni Adam dan Hawa. Itu perkara
biasa.
Namun
apabila Tok Guru tekankan bukan sahaja “kita bersaudara”, tetapi acap
didengari menggunakan kalimat kita ini “adik-beradik” itu ajaib dan
istimewa. Wow!
Dari
sudut psikologi komunikasi, Tok Guru lebih arif bagaimana untuk
menjadikan dakwah dan mesej politik yang benar-benar berkesan sekaligus
inklusif, yang merangkum dan terangkum serentak menambat hati budi dan
pemikiran kaum Tionghua khasnya di bumi Kelantan itu. Tidak aneh kalau
akhbar Mandarin menobatkannya “Tok Guru Sepanjang Zaman”. Ajaib.
Bandingkan
hakikat ini dengan pelbagai episod konflik kaum yang tidak ada
kesudahan di negara ini, seumpama kontroversi oleh seorang menteri
mutakhir ini. Perkauman sudah mendarah-dagingi warga negara ini.
Malangnya umat Islam tidak mampu menunjukkan penyelesaiannya, bahkan
juga sebati dan berakar-umbi dalam benak hati dan pemikiran, justeru
kerana tidak mendapat pencerahan Islam sebenarnya.
Persoalan
yang perlu dihalusi adalah mengapakah Tok Guru mengambil pendekatan
untuk benar-benar melazimi dan mendampingi kaum Tionghua, sehingga
negara luar yang pertama dilawati sebaik sahaja menjadi Menteri Besar
Kelantan pada tahun 1990, ialah membuat lawatan ke negara China?
Mengapakah
Tok Guru mengizinkan kalimah “Allah” digunakan dan tidak salahgunakan
penganut agama lain, sementara wujud golongan agamawan yang bertegas dan
berkeras untuk tidak mengizinkan sehingga ke hari ini?
Terdahulu,
ramai masih ingat pelbagai reaksi dan kontroversi terhadap usaha Tok
Guru membina masjid yang rekabinanya berbentuk bumbung pagoda, sehingga
mendapat jolokan Masjid Cina.
Mungkin
telah ada masjid seperti ini lebih awal di negara ini, tetapi tatkala
Tok Guru membinanya ia punya matlamat yang jelas dalam siasah dan
dakwahnya bagi menambat hati kaum Tionghua dan meredakan prajudis
terhadap Islam. Kerap Tok Guru menekankan kaum Cina lebih dahulu Islam
dan lebih ramai Islam dari orang Melayu!
Mesej
Tok Guru ini sangat menyerlahkan penghayatan siasah dan dakwahnya.
Bukan sahaja untuk kekal berkuasa seperti sang penguasa politik di mana
pun di dunia ini.
Seperkara
lagi, meskipun Tok Guru sedar, demografi negara ini berteraskan
majoriti orang Melayu pastinya, sengaja Tok Guru lontarkan, satu hari
nanti mahu dilihat seorang Perdana Menteri berketurunan Cina. Melompat
pelbagai pihak. chauvinist Melayu pastinya berang dan kita mampu faham. Tetapi chauvinist Cina pun marah, sebab kononnya Tok Guru mahu ‘Islamkan’ mereka.
Hanya rakyat Malaysia sejati yang memahami ‘insinuasi’ bahkan ‘nuansa’ Dakwah ulama bertubuh kecil ini tetapi mempunyai minda dan mantik yang tak bertepi dan berfikir diluar kotak.
Sangat tegas dengan prinsip, kreatif dalam perlaksanaan dan antisipatif dengan cabaran dan persaingan.
Mampukah
PAS memenuhi perlaksanaan syariat yang telah diasaskan oleh Tok Guru
dengan penuh kebijaksanaan dalam ruang-lingkup keluasan demokrasi dan
peruntukan perlembagaan negara?
Mampukah
pimpinan tertinggi PAS meneruskan penegasan Tok Guru, untuk kekal
bertahaaluf dalam Pakatan Rakyat sementara bijak mengurus perbezaan yang
terkadangkali sangat tajam dan mendebarkan?
Itulah siyasah syar’iyah Tok Guru yang bijak persis mencerminkan sifat al-fatonah atau Kebijkasanaan para anbiya’ yang perlu dicontohi.
Itulah legasi siasatud-dakwah Tok
Guru yang menambat hati-budi mereka yang mulanya curiga dan sangsi,
tetapi kini sudah mula senang dengan slogan “PAS Untuk Semua” dan Islam
agama yang mendamaikan dan mensejahterakan.
Malangnya
hanya setelah ketiadaannya, negara bahkan dunia mula mengiktiraf bahawa
Tok Guru adalah tokoh pemimpin negara merentas agama, etnik dan budaya.
Amat sukar mencari calon yang boleh dinobatkan begitu dan hilangnya
sukar dicari ganti.
Banyak
lagi yang harus digali dan dicerakinkan dari segenap aspek hidupnya
ulama yang cukup sederhana dalam kehidupan. Cukup sekadar ini untuk
penulis berhujah agar Institut Pemikiran Tok Guru yang telah ditubuhkan
di bawah kerajaan negeri Kelantan benar-benar dapat diberdayakan dan
biografi ulama ulung ini diabadikan secara bersungguh danprofesional.
Moga Allah merahmati ruhnya Tok Guru bersama Al-Akhyar! Amin. Al-Fatihah.
Link: http://irfront.net/post/