Awang Selamat – Penggalak Terorisme Di Malaysia
Posted by Anak Sungai Derhaka at 11:06:00 AM
oleh Eyes Wide Open
Setelah berhari menantikan jawaban dari semboyan UMNO iaitu Utusan Malaysia, akhirnya En Awang Selamat muncul memberi kata duanya mengenai serangan ganas ke atas beberapa gereja di negara tercinta kita ini.
Akan tetapi ia jelas sekali yang pihak Utusan langsung tidak prihatin kepada mangsa-mangsa serangan yang kian meningkat saban hari.
Dalam rencananya , beliau menulis:
“…ada pihak lain yang cuba menangguk di air keruh – menjadi dalang – yang kemungkinan itu tidak boleh ditolak mentah-mentah. Motifnya adalah untuk memburukkan lagi keadaan selain menjejaskan imej Islam.”
Ingin saya tanya, siapa yang dimaksudkannya sebagai “pihak lain” yang motifnya untuk “memburukkan lagi keadaan selain menjejaskan imej Islam”? Takkanlah dia menuduh penganut Islam sedemikian?
Masya’allah! Setelah menyiar artikel-artikel menghasut bertubi-tubi sehingga betul-betul tercetus serangan terorisme ke atas rakyat Malaysia sendiri, tak henti-henti lagi dengan hasutannya? Ke mana hilang keinsafannya?
Ini betul-betul bak sudah jatuh ditimpa tangga. Yang lebih menyakitkan ialah pihak yang jatuh itu ditolak oleh pengganas pengecut atas motosikal dan tangga itu dilempar oleh penulis rencana suratkhabar milik parti berkuasa mutlak negara ini.
Demi meneruskan hasutannya, Awang tidak sama sekali peduli yang dia terang-terang menyebarkan kata-kata bohong seperti berikut:
“Lihatlah punca sebenar. Kenapa sekarang kalimah Allah hendak digunakan di Semenanjung Malaysia?”
Bohong, bohong, bohong!
Mana ada tuntutan mana-mana pihak untuk menggunakan *kalimah* Allah di Semenanjung? Semua orang (Muslim dan bukan Muslim) memahami yang kalimah “Tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad adalah Nabinya” adalah tunggak agama Islam. Mustahil yang pihak Kristian ingin menggunanya kerana fahaman asas kedua-dua agama amat berbeza sekali.
Kontroversi tercetus apabila kerajaan tiba-tiba melarang the Herald menggunakan *NAMA* “Allah” dalam suratkhabar edisi BMnya (yang sudah lama diterbit dengan permit rasmi kerajaan) yang dibaca oleh penganut Katolik di SABAH & SARAWAK sahaja yang tidak berbahasa Inggeris!
Mesti difahami bahawa penganut Katolik di Malaysia Timur menggunakan *NAMA* “Allah” (dan bukan kalimah) kerana mereka membaca Kitab terjemahan Bahasa Indonesia yang diterbitkan di Indonesia. Kitab ini menggunakan nama “Allah”. Keadaan ini telah berlangsung untk beratus tahun sebelum Sabah dan Sarawak bersatu dengan Semenanjung untuk membentuk negara Malaysia. Pindaan Perlembagaan Malaysia pada masa itu jelas mempertahankan hak-hak Bumiputra di Malaysia Timur, termasuk yang bukan Islam.
Jadi, tindakan kerajaan UMNO mengharamkan penggunaan *NAMA* “Allah” oleh penganut Kristian di Malaysia Timur jelas memijak-mijak hak agama Bumiputra Malaysia Timur yang sudah lama termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia! Jadi demi menuntut keadilan untuk pengikutnya, meminta kerajaan menghormati undang-undang Perlembagaan, dan menegakkan hak Bumiputra Malaysia Timur, gereja Katolik telah membuat rayuan kepada mahkamah.
Kenapa UMNO yang tak henti-henti melaungkan terhakisnya hak asasi Bumiputra sebaliknya kini menghakis hak asasi Bumiputra Malaysia Timur?
Hipokrit yang amat keji!
Akan tetapi, isu yang sebenar ini telah lama dikuburkan oleh UMNO dan akhbar penghasutnya Utusan. Ditanamnya benih benci dan syak wasangka antara rakyat Malaysia dengan fitnah yang sudah disebar luas bahawa penganut Kristian di Malaysia giat menerbitkan Kitab Bahasa Melayu dan merompak kalimah Allah untuk memurtadkan penganut Islam Melayu!
Sehinggalah hasutannya ini telah dibuahkan dengan serangan terorisme ke atas diri dan harta pihak Kristian di Malaysia.
Akan tetapi, setelah fitnah demi fitnah disebarkan, bohong demi bohong diwujudkan, hasutan demi hasutan diterbitkan, dan serangan demi serangan dilaporkan, sanggup Awang Selamat ini masih giat menghasut orang Islam di negara ini supaya lebih membenci yang bukan Islam/Melayu. Hasutan demi hasutannya ini amat mendadak, walau setelah hasutannya sudah berbuah.
Adakah dia menganggap yang buahnya tak cukup lebat. Buah berwarna kuning jingga seperti api menjilat rumah ibadat tidak cukup memuaskan?
Inginkah dia melihat buah merah darah mengalir?
http://darisungaiderhaka.blogspot.com/