Semakin sukar untuk Malaysia menjadi sabuah Negara aman damai selagi UMNO terus memerintah. UMNO bila tersepit mempergunakan isu kaum dan agama di negara ini. UMNO yang ada hari ini tak sama dengan UMNO zaman Tunku Abdul Rahman dahulu yang lebih terbuka dan dihormati banyak pihak. Hari ini cara politik UMNO telah meluaskan jurang perbezaan kaum dan agama. Jika UMNO dibiarkan terus memerintah, ia akan menyebabkan negara dan rakyat sentiasa dilagakan kerana kesempatan ini akan diambil oleh pemimpin mereka untuk mempolitikkan perbezaan kaum dan agama. Kita tahu bukan semua ahli UMNO setuju dengan permainan politik seperti ini. Tapi kita juga tahu ada golongan dalam UMNO mahu orang Melayu mengangkat mereka menjadi wira pembela agama. Golongan ini melalui kuasa kerajaan telah melarang akhbar The Herald, yang hanya dijual di gereja-gereja Katolik saja, daripada menggunakan perkataan “Allah”, dan mereka yakin Mahkamah Rayuan akan “memperbetulkan” keputusan yang ada sekarang.
Kita mesti sentiasa waspada bila ada kumpulan menggelarkan diri mereka pembela agama dan Allah. Seperti kata Allahyarham Gus Dur, bekas presiden Indonesia dan pemimpin besar Nahdatul Ulama; Tuhan yang Maha Besar, Maha Agung dan Maha Berkuasa tidak perlu dibela, yang memerlukan pembelaan adalah manusia yang dianiayai dan ditindas. Jadi bila ada kumpulan NGO yang dibiayai oleh UMNO ini berkumpul dan berteriak “Islam dinodai” atau “Selamatkan agama kita”, rakyat mesti berhati-hati dan perlu waspada tentang apa motif sebenar mereka.
Soal penggunaan perkataan Allah (God) atau Tuhan Allah (the Lord God) oleh orang Kristian Bumiputera di Sabah dan Sarawak mesti difahami dari perspektif sejarah pra-Merdeka dan sebelum mereka menyertai Malaya untuk membentuk Malaysia pada tahun 1963. Semasa membaca doa di gereja, ramai penganut Kristian di sana tidak tahu berbahasa Inggeris; lagi pula mereka dari berbagai kaum seperti Iban, Kadazandusun, Bidayuh, Murut, Melanau, Kelabit, Kedayan dan sebagainya yang mempunyai bahasa dan dialek yang berbeza. Jadi mereka memilih satu bahasa yang difahami semua pihak, iaitu Bahasa Melayu. Kitab Bible berbahasa Melayu yang mereka gunakan datangnya dari Indonesia. Bible mereka menggunakan perkataan Allah. Sejak zaman-berzaman orang Islam di Sabah dan Sarawak tidak menghadapi apa-apa masalah tentang hal ini. Begitu juga orang UMNO di Semenanjung yang tak rasa sensitif. Kalau benar orang UMNO marah, mengapa isu ini tak timbul pada masa dahulu?
Mungkin kerana sebelum ini kuasa UMNO dan Barisan Nasional di Parlimen sangat kuat, maklumlah mereka ada 2/3 kerusi, iaitu boleh buat apa saja yang mereka suka. Sekarang banyak hal dengan tiba-tiba menjadi “sensitif”. Ini kerana kedudukan politik UMNO sudah goyang. Persoalannya ialah, mengapa UMNO membenarkan nama Allah digunakan sejak sekian lama. Mengapa tidak arahkan semua doa dan percakapan dalam gereja supaya jangan guna nama Allah? Bila orang bukan Islam diminta menyayi Ya Allah Selamatkan Sultan Kami adakah mereka melakukan kesalahan? Mengapa hanya The Herald diharamkan daripada menggunakan perkataan Allah? Sudah tentu The Herald tidak akan menggunakan perkataan itu kalau penganut dan pembacanya menggunakan perkataan lain dalam ritual sembahyang dan doa mereka. Jadi Perdana Menteri Najib dan Menteri Dalam Negeri Hishamuddin kena semaklah doa orang Kristian di Sabah dan Sarawak – jika didapati mereka menggunakan perkataan Allah, mungkin tindakan keras harus diambil.
Tapi sebelum mengambil tindakan keras, kena semak juga sejarah. Saya difahamkan bahawa pada abad ke-17 sudah ada perkataan Allah untuk Tuhan dalam kamus Melayu-Latin. Allah juga disebut dalam kitab doa Katolik yang dibawa ke Tanah Melayu pada abad ke-19. Persoalannya, jika tindakan keras diambil, adakah ia akan membantu usaha dakwah Islamiah atau mencacatkan imej Islam semata-mata kerana ada orang tertentu mahu jadi wira agama tanpa kajian yang mendalam.
Para alim ulamak seluruh dunia Islam sudah lama menerima orang dari agama lain menggunakan nama Allah sebagai nama Tuhan. Antaranya yang diguna pakai oleh umat Kristian Koptik di Mesir dan Kristian di Lubnan, Palestin, Iraq dan beberapa negara umat Islam yang lain. Sudah tentu ulamak-ulamak UMNO juga sedar perkara ini kerana mereka sudah jauh berjalan dan banyak pengalaman. Tak kan lah ulamak UMNO yang amat tinggi ilmu agama mereka buat-buat tak faham semata-mata nak “bersihkan” Islam dari segala unsur-unsur kaum, budaya dan agama lain. Tak kan mereka tak sedar Bahasa Melayu kita masih lagi mengekalkan Bahasa Sanskrit dari asal usul Hindu untuk Islam seperti perkataan sembahyang, puasa, syurga, neraka, dosa, pahala dan sebagainya.
Kita telah ada cukup undang undang melarang sesiapa sekali pun yang berusaha untok menarik minat orang Islam kapada agama lain. Ini larangan yang jelas. Kepercayaan kapada ajaran agama kita yang tulin adalah benteng untuk kita memberhentikan mana mana usaha untuk membawa orang Islam keluar dari akidah Islam. Kalau ini belum cukup itu bererti pegangan agama kita lemah. Siapa yang perlu disalahkan?
Sumber - Zaid Ibrahim