Media bebas, banteras rasuah dan rawatan kesihatan untuk semua
Posted on Sunday, July 25 @ 16:51:10 PDT by paktam
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Budaya rasuah ternyata mampu menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah regim. Khazanah kekayaan negara, biar betapa melimpah sekalipun, akan dipunggah tanpa batas, untuk mengenyangkan kroni dan suku-sakat penguasa, yang kemudiannya digunakan untuk mempertahankan survival kuasa.
Amalan korupsi semakin merebak dan mewabak apabila ruang awam bagi masyarakat sivil dijerut dan tambah mengecil. Rakyat tidak berpeluang menyalurkan bantahan dan protes secara berkesan bagi memperbetulkan keadaan. Sesiapa yang cuba membongkar dan menyelongkar penyelewengan "akan disusahkan".
HUBUNGAN TIMBAL-BALAS
Kebebasan bersuara sememangnya mempunyai hubungan timbal-balas dengan kemajuan ekonomi sesebuah negara dan berpeluang menyekat budaya bobrok salahguna kuasa, memperkemaskan urus tadbir dan sistem penyampaian awam, serta mengelak daripada pembaziran dan kebocoran dana kerajaan.
Walaupun agensi membanteras tumbuk-rasuk seperti Badan Pencegah Rasuah (yang mula beroperasi 1 Oktober 1967) ditingkatkan menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (pada 1 Januari 2009), namun sekiranya ruang rakyat bersuara disempitkan, yang membataskan lagi upaya "semak dan imbang", apatah lagi jika kuasa mendakwa masih mutlak di bawah Jabatan Peguam Negara (yang sering melakukan pendakwaan jenayah terpiliuh), jangan haraplah kedudukan negara kita dalam ranking dunia akan meningkat.
Negara-negara yang mencapai kedudukan terbaik dalam ranking Transparency International mengenai rasuah, seperti Denmark (tangga pertama), Sweden (pertama), New Zealand (pertama), Finland (kelima) dan Switzerland (kelima) juga menduduki tempat teratas dari segi ranking demokrasi (Denmark, 1; Sweden, 2; New Zealand, 4; Finland, 3; Switzerland, 6)) dan kebebasan akhbar (Denmark, 2; Sweden, 4; New Zealand, 6; Finland, 1; Switzerland, 6).
Pengecualian hanya berlaku ke atas Singapura, yang berada pada kedudukan ke-4 (indeks rasuah) walaupun ranking demokrasinya 74, dan kebebasan akhbar, 114. Statistik merujuk rekod tahun 2007.
Mungkin atas sebab itulah, bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew sering mendakwa bahawa sistem tidak demokratik lebih baik dalam membawa kemajuan ekonomi.
MENYANGGAH HIPOTESIS LEE
Bagaimanapun, Prof Emeritus Amartya Sen, pemenang Hadiah Nobel Ekonomi 1998, menyanggah "hipotesis Lee" itu, dengan mengatakan bahawa ia "adalah berdasarkan empirisisme yang bertaburan, dirumus dari informasi sangat terpilih dan terhad, berbanding sebarang ujian statistik umum ke atas data meluas yang sedia ada."
Jelasnya, terdapat banyak bukti bagi menunjukkan bahawa yang diperlukan untuk menjana pertumbuhan ekonomi lebih cepat adalah iklim ekonomi lebih mesra dan bukannya sistem politik lebih keras.
Beliau menegaskan bahawa respons kerajaan terhadap penderitaan akut rakyat sering bergantung pada tekanan yang dikenakan terhadapnya. "Dalam sejarah ngeri kebuluran di dunia, tiada kebuluran besar pernah berlaku di mana-mana negara merdeka dan demokratik dengan kebebasan akhbar yang relatif," tambah beliau.
Dalam pada itu, buku panduan Trasparency International 2002 meletakkan media yang bebas adalah sama pentingnya dengan kehakiman yang independen, dalam usaha melawan rasuah.
"Perlindungan sumber informasi adalah syarat utama yang diperlukan wartawan agar dapat menjalankan tugas dengan bebas. Wartawan harus yakin bahawa dia dapatmenyebarkan berita tanpa terancam kena denda atau dipenjarakan kerana tidak mengungkap sumber informasinya," tulisan itu dipetik.
Ia turut menyenaraikan faktor-faktor mengapa badan antikorupsi gagal berfungsi dengan berkesan, antaranya, kemahuan politik yang lemah, tidak ada sumber daya atau peruntukan sewajarnya, campur tangan politik, gagal melibatkan masyarakat dan badan itu sendiri korup!
Agensi membanteras rasuah hanya dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika mendapat dokongan politik dari tingkat tertinggi pemerintahan, memiliki sumber daya yang memadaiuntuk menjalankan misi, wewenang yang memadai untuk memperolehi dokumen dan untuk meminta keterangan dari saksi, dan memiliki pimpinan yang dipandang mempunyai integriti yang tinggi.
LONGGOKAN UMPAN RASUAH
Dalam hal ini Lee Kuan Yew (walaupun mempunyai rekod hitam-legam menzalimi musuh politiknya; baca dua memoir politik Said Zahari, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah dan Meniti Lautan Gelora ) memang dikenali mempunyai kemahuan politik yang tinggi untuk membanteras rasuah, berbeza dengan pimpinan kerajaan Malaysia yang seringkali dilihat lebih suka "membersihkan pemimpinnya yang dituduh rasuah".
Malah Umno itu sendiri terbukti bergelumang dengan amalan rasuah dalam proses pemilihan kepemimpinannya, dan kempen pilihan raya umum sering dilonggokkan dengan umpan rasuah oleh pemimpin BN dalam pelbagai bentuk, yang kian sukar dijebak undang-undang. Pelik juga, ada tokoh Umno yang dihalang menyertai pertandingan parti kerana terbukti rasuah tetapi masih dilantik memegang jawatan kanan dalam kerajaan.
Justeru, saya dan beberapa rakan wartawan memutuskan untuk kembali mengaktifkan kembali gerakan bebaskan media melalui Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) agar rakyat seluruhnya mendapat manfaat. Tanpa media bebas, segala "kebusukan" dalam pemerintahan sukar dibanteras, dan kekayaan negara hanya berlegar di kalangan pihak tertentu yang rapat dengan serambi kuasa sahaja.
Selain melobi agar reformasi menyeluruh ke atas Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP), peraturan lain yang mengongkong, misalnya Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) harus turut dirombak. Hanya dengan pembentukan masyarakat bermaklumat yang matang sahaja mampu melahirkan sistem semak dan imbang yang berkesan.
II. HARAKAH DAN PROGRAM KEBAJIKAN RAKYAT
Pengalaman berkampung di wad HUKM - dan sebelumnya naik-turun hospital awam dan swasta, juga pusat perubatan tradisional bagi mendapatkan rawatan - diharap dapat mendekatkan diri dengan realiti kehidupan sebahagian anggota masyarakat yang jarang diberi perhatian.
Selain melihat sendiri penderitaan pesakit, berbicara dengan keluarga yang resah menanti, menyelami kegelisahan mereka yang terpaksa menunggu lama, saya turut berdepan dengan banyak kes "pengabaian" akibat kekangan kewangan pesakit.
Malang sekali apabila si miskin (di negara yang makmur-mewah ini) seolah-olah dinafikan hak mendapat rawatan yang berkualiti hanya kerana kesempitan hidup, dan terpaksa menadah ehsan orang lain.
Dengan peningkatan pelbagai penyakit kronik yang kini tidak mengenal mangsa, kos rawatan semakin membebankan termasuk kepada mereka yang kelihatan "agak senang hidupnya".Teknologi perubatan memang semakin canggih, namun fenomena "antara dua darjat" menyebabkan ia mungkin dinikmati oleh golongan berada sahaja.
PERKASAKAN HOSPITAL AWAM
Terasa keperluan yang cukup mendesak agar hospital awam kita diperkasakan secara tuntas, tanpa lengah agar - seperti janji Pakatan Rakyat - setiap rakyat berhak menikmati perkhidmatan kesihatan awam yang terbaik pada kos yang berpatutan. Pakatan juga akan menimbangkan penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan awam supaya lebih setanding dengan perkhidmatan sektor swasta.
Benar juga luahan seorang pesakit buah pinggang yang banyak berkongsi pengalaman dengan saya: "Bagi orang macam kita, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat patut diangkat menjadi agensi kerajaan terpenting, ya? Pejabat zakat dan baitulmal pula mesti mudah membantu, kan?"
Tambahnya, "masalah besar, you pun tahu, elit Umno-BN melihat projek kebajikan seperti pembinaan hospital, kontrak bekalan ubat dan peralatannya, untuk kaut untung berlipatganda ... rasuah pun banyak."
Seorang rakan, jurutera kanan sering merungut: "Dalam setiap projek, sekurang-kurangnya RM10 juta hanya untuk rasuah politik. Nilai projek meningkat hanya untuk mengenyangkan kroni dan dana politik parti pemerintah. Semua projek yang berpotensi untuk buat duit dijalankan melalui rundingan, bukan tender terbuka. Hang masih ingat kes bekas setiausaha politik Nor Yaacob, Hasbie Satar?"
(Terdapat kajian merumuskan bahawa projek raksasa yang melibatkan pembinaan infrastruktur lebih disukai daripada projek untuk pembangunan luar bandar, sektor pertanian dan pembasmian kemiskinan kerana skop untuk melakukan rasuah adalah lebih luas dan lumayan lagi. Begitu juga dengan perbelanjaan kendalian, operasi serta penyelenggaraan mesin dan lain-lain aset kerajaan kurang diminati daripada perbelanjaan jentera dan peralatan baru).
RASUAH TETAP PENGHALANG UTAMA
Sepatutnya soal dana tidak menjadi masalah besar bagi mempastikan rakyat mendapat kemudahan perubatan terbaik. Lihatlah betapa pembaziran peruntukan kerajaan begitu besar sekali, sebahagiannya berpunca daripada amalan korupsi, seperti yang pernah diakui Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hasan, sehingga jumlahnya mencecah puluhan bilion ringgit. (Ada dakwaan bahawa pemerintahan Dr Mahathir Mohamad membazirkan lebih RM100 bilion dalam pelbagai skandal kewangan).
Malah, banyak kes pembinaan hospital di negara ini tertangguh, seperti di Shah Alam, dan ada pula yang sudah disiapkan tetapi mengalami kecacatan yang begitu ketara, misalnya di Johor Bahru dan Alor Setar. Sebahagiannya juga disebabkan amalan rasuah. Masakan tidak, peruntukan besar sudah dipotong untuk komisyen politik.
Apabila saya mendapat serangan pertama jantung, awal pagi Disember 2009, dan dikejarkan ke sebuah hospital awam berdekatan, pemeriksaan mendapati saya "okey saja" dan dibenarkan pulang tanpa dibekalkan sebarang ubat. Hinggalah apabila pada sebelah petang, Dato' Husam Musa menziarahi dan menggesa saya ke sebuah pusat perubatan swasta.
Hari itu juga, selepas ujian angiogram, saya diminta menjalani rawatan angioplasti esoknya. Saya masih mengingati balasan SMS Husam terhadap rakaman penghargaan keluarga kami: "Saya melihat sendiri ada rakan-rakan yang tidak dapat diselamatkan kerana lambat dirawat."
Beliau mengharapkan Harakah dapat memulakan inisiatif membantu dan memudahkan rakyat Malaysia yang kesempitan bagi mendapatkan rawatan terbaik. Selama ini Harakah berjaya mengendalikan tabung kemiskinannya (TKH) dengan baik. Agihannya merata ke seluruh negara. Banyak keluarga yang memerlukan sudah dibantu. Sumbangan pembaca juga cukup membanggakan.
Konsep "kerajaan berkebajikan" sebenarnya boleh diterapkan, sekadar mampu, meskipun Pakatan belum mengambil alih sepenuhnya pemerintahan negara ini, bagi meringankan rakyat daripada bebanan kos sara hidup yang meningkat dengan drastik.
Melalui SMS, yang mengungkapkan kesyukuran di atas kejayaan pembedahan "bypass" saya, pembaca yang mahukan Harakah lebih proaktif mendekati degup jantung rakyat bawahan. "Sdr bernasib baik kerana ramai yang membantu, tetapi bagaimana dengan orang biasa yang juga sakit teruk," kata seorang daripadanya.
DEKATI DEGUP JANTUNG RAKYAT BAWAHAN
"Banyak isu seharian masyarakat, seperti kenaikan harga barang dan kecekapan PBT, boleh disorot dari perspektif lebih menarik. Harakah patut turun padang membantu menyelesaikannya, dan usah lupa mempromosi program kebajikan parti terutama Ramadan nanti," seorang pembaca dari Seremban menelefon.
"Jangan biarkan media lain, misalnya TV3 lebih ke depan dalam program membantu golongan miskin dan yang hidup tersepit. Harakah mesti lebih kreatif menjejaki isu-isu rakyat. Jurang kaya-miskin yang kian melebar harus didekatkan. Dedah gelagat pemimpin boros yang asyik perkayakan diri dan suku-sakat," ujarnya lagi.
Insya-Allah, Harakah cuba memanfaatkan pelbagai cadangan itu, sekurang-kurangnya menyokong pelbagai usaha kebajikan bagi menyuburkan semangat untuk membelanjakan harta di jalan Allah. Al-Quran sendiri banyak mendorong, antaranya, maksud al-Baqarah, ayat 261: "Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya ...."
Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu Mas'ud, bahawasanya ada seorang lelaki yang menginfakkan seekor unta yang hidungnya telah diberi tali di jalan Allah. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Engkau pasti akan datang pada hari kiamat kelak, dengan 700 unta yang telah ditalikan hidungnya."
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=8753