AMCP: Najib perlu berani mansuh legasi Mahathir
Posted on Wednesday, July 21 @ 20:57:45 PDT by abu_uwais
Oleh Ahmad Lutfi Othman
Keputusan pilihan raya umum, November 1999 memang bersejarah, terutama buat Umno dan Barisan Alternatif. Dan ia didahului oleh satu peristiwa tragis; pemecatan Anwar Ibrahim secara mengaibkan dari jawatan kerajaan dan parti. Teriakan reformasi menjadi fenomena dan siulan popular. Ramai menteri Umno tumbang dalam pilihan raya ke-10 itu.
Jumlah kerusi Parlimen PAS meningkat berlipat kali ganda meskipun majoriti dua pertiga BN belum dapat dinafikan. Selain mengekalkan penguasaannya di Kelantan, PAS berjaya memerintah Terengganu. Presidennya, Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor dilantik Ketua Pembangkang di Parlimen.
Buat pertama kali propaganda Umno melalui media di bawah kawalan mutlaknya ditolak pengundi, terutama orang Melayu. Perkiraan politik Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad tersasar. Rakyat Malaysia tidak lagi menerima apa saja penjelasan pemimpin kerajaan.
Pertuduhan ke atas Anwar diketawakan, jelas ia dibuat secara tergesa-gesa dan sarat dengan motif politik. Isunya hanyalah survival kuasa sang Perdana Menteri yang begitu takutkan bayang-bayang sendiri. Pengalaman Presiden Suharto yang terpaksa berundur, juga atas desakan reformasi, begitu membimbangkan Dr Mahathir.
Rakyat tidak mudah lagi menelan bulat-bulat muntahan pemimpin Umno. Jualan akhbar utama menjunam, sebaliknya media alternatif seperti Harakah, Eksklusif dan Detik ditunggu-tunggu di pasaran.
Melalui satu kajian, seperti dilaporkan dalam buku "Transparency and Authoritarian in Southeast Asia" oleh Garry Rodan (2004), di antara tahun 1990 dan 2000, pembaca NST jatuh 34 peratus, Utusan Malaysia merudum 27 peratus dan Berita Harian, 30 peratus. Pada masa sama, menurut kajian itu lagi, edaran
Harakah meningkat, daripada sekitar 70,000 naskhah kepada 350,000 naskhah.
Beberapa penerbitan seperti Detik, Wasilah, Tamadun, Eksklusif dan Aliran Monthly, meningkat jualannya. Majalah Tamadun misalnya, yang saya terajui ketika Anwar dipecat, mencatat sejarah. Mungkin buat pertama kali sebuah majalah bulanan terpaksa diulang cetak, bagi terbitan September 1999, dan meningkat mendadak edarannya, daripada 20,000 naskhah kepada 140,000. Halaman warna majalah itu dijadikan poster dan dijulang oleh para demonstran di Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Majalah Detik yang saya sewa permit penerbitannya daripada seorang teman juga menikmati tempias yang menakjubkan itu. Jumlah cetakan melebihi 100,000 naskhah walaupun ia diuruskan secara amatur. Ringkasnya, pembaca mula ghairah mencari bahan bacaan alternatif selepas muak dengan "pendedahan lucah" akhbar yang dikongkong Umno-BN. Ketika itu juga laman-laman reformasi diminati sehingga kandungannya difotokopi bagi sebaran ke seluruh pelosok tanahair.
Dr Mahathir jelas berdendam dengan penerbitan bebas, yang memberi ruang buat seteru politiknya mendekati rakyat. Langkah awalnya selepas membentuk kerajaan pada November 1999 ialah mengarahkan Kementerian Dalam Negeri melalui peruntukan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 agar tidak memperbaharui permit Detik, Eksklusif dan Wasilah.
Sebenarnya kebenaran sudahpun diberikan kepada Detik, dan kami telah membayar RM500 kepada KDN. Bagaimanapun, permit yang diluluskan pegawai KDN itu ditarik balik, atas arahan menteri. Difahamkan isu majalah Detik yang digunakan pembangkang dalam kempen di Kedah mendapat perhatian istimewa dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.
Mujur permit Detik milik seorang kawan, jika ia hak peribadi tentu saya akan menerbitkannya juga disebabkan kami sudahpun menyiapkan urusan rekabentuk kandungan Detik keluaran November 1999. Saya sudah bersedia menghadapi apa jua tindakan KDN. Tetapi bagi mengelak bebanan buat rakan tadi, maka saya terpaksa akur. Rugi besar juga saya ketika itu.
Pada Mac 2000, kekerapan penerbitan Harakah dikurangkan daripada dua kali seminggu kepada dua kali sebulan. Fungsinya sebagai sebuah akhbar dilumpuhkan, menyamai majalah-majalah hiburan yang juga diterbitkan dalam kekerapan sama.
Agak hairan juga saya dengan sikap pimpinan PAS yang dilihat "bersikap terbuka" dengan tindakan "ganas" Menteri Dalam Negeri itu. Seingat saya, hanya satu demonstrasi kecil dianjurkan di hadapan Masjid Negara membantahnya.
Kemudiannya kita menyaksikan tangkapan ISA dibuat ke atas aktivis reformasi dengan pertuduhan palsu dan sekatan berhimpun diperketatkan lagi, semata-mata demi survival Umno yang semacam "nyawa-nyawa ikan" waktu itu.
Bagi Dr Mahathir, momentum sokongan rakyat kepada BA harus disekat segera. Ternyata Umno-BN memilih pendekatan keras dan mendera, berbanding cara memujuk, bagi meraih kembali undi pengundi Melayu.
Jika diteliti sejarah pindaan AMCP 1984 - yang dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember 1987, lebih kurang sebulan selepas tangkapan borong lebih 110 aktivis sosial dan politik dalam Operasi Lalang ISA, juga membabitkan pembatalan permit empat akhbar, The Star, The Sunday Star, Watan dan Sin Chew Jit Poh - Dr Mahathir memang sengaja mahu bertembung dengan kuasa kehakiman yang dilihatnya banyak menganggu pemerintahan kuku-besinya.
Dorongan utama Dr Mahathir meminda AMCP adalah berikutan kes pembatalan permit kerja wartawan Asia Wall Street Journal (AWSJ) di Kuala Lumpur, John Peter Berthelsen dan kes penolakan permohonan Aliran untuk mendapat permit penerbitan dalam bahasa Melayu.
Dr Mahathir yang juga Menteri Dalam Negeri mengemukakan beberapa pindaan yang cukup tidak demokratik, antaranya, penghapusan konsep pembaharuan permit, menambahkan satu lagi kesalahan iaitu berita yang mungkin menggemparkan fikiran orang ramai, keputusan menteri tidak boleh dicabar di mahkamah, dan penyingkiran hak untuk pendengaran bagi kes-kes penggantungan atau pembatalan permit.
Semasa perbahasan di Dewan Rakyat, ramai ahli-ahli Parlimen pembangkang, misalnya Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng tidak dapat menyertainya kerana dikurung ISA. Dalam buku "Akhbar dan Kuasa" (1996), Mohd Safar Hasim merakamkan bahawa wakil DAP Bukit Bintang, Lee Lam Thye berkata pindaan seksyen 13A dan 13B amat tidak demokratik dan keras. Tambahnya, cadangan pindaan itu dengan jelas memberi kuasa lebih luas kepada menteri. Sekiranya diluluskan, beliau akan menjadi pendakwa, hakim,
juri, dan pelaksana kerana beliau dan beliau sahajalah boleh membuat keputusan ke atas nasib semua penerbitan di mana tiada ruang untuk menuntut keadilan.
Malah penyokong kerajaan, Dr Goh Cheng Teik (BN - Nibong Tebal) meminta menteri menimbang semula seksyen baru 13A. "Menteri telah mengatakan bahawa demokrasi kita beralaskan sistem pembahagian kuasa. Mengikut falsafah pembahagian kuasa ini tiap-tiap cawangan pemerintah mengadakan peranan masing-masing. Cawangan badan perundangan menggubal undang-undang, cawangan eksekutif menguatkuasakan undang-undang, cawangan kehakiman bertanggungjawab menyemak undang-undang yang digubal oleh cawangan badan perundangan untuk menentukan bahawa ia betul-betul secocok dengan Perlembagaan dan juga menyemak penguatkuasaan undang-undang yang dijalan oleh cawangan eksekutif ini untuk menentukan bahawa ia secocok dengan undang-undang kita."
Wakil tunggal PAS, Nik Abdullah Nik Arshad (Pengkalan Chepa) mengatakan kerajan tamak kuasa, dan terlampau berhasrat untuk mengekalkan kuasa. Dengan sebab itu kerajaan tidak cukup dengan beberapa akta yang ada seperti ISA, Akta Rahsia Rasmi dan sebagainya. Tetapi dengan pindaan itu, lebih ketara nampaknya kerajaan untuk mengepung segenap ruang kebebasan rakyat supaya rakyat menjadi kaku dan beku dalam menyampaikan sesuatu pandangan khususnya tentang kesilapan kerajaan.
Rupanya syarat-syarat permit itu boleh ditambah oleh KDN, misalnya untuk Harakah, ia hanya boleh dijual kepada ahli dan di premis parti, selain kandungannya hanya terbatas kepada kegiatan parti sahaja. Kalaupun Harakah boleh beroperasi di luar batasan itu, ia sekadar ehsan pemerintah, bukannya hak yang dijamin. Seolah-olah ahli PAS hanya terkurung di Batu Caves sahaja dan tidak bercampur gaul dengan masyarakat!
Menyedari tindakan melampau KDN, saya bersama beberapa rakan media membentuk Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI). Tujuannya untuk menimbulkan kesedaran awam terhadap kemerosotan ketara ruang rakyat berpartisipasi terutama melalui media bebas.
KAMI m engadakan pertemuan dengan Suhakam, di sebuah hotel di KL, membabitkan Naib Pengerusinya, Allahyarham Hakim Harun Hashim serta pesuruhjaya Hamdan Adnan, Mehrun Siraj dan Zainah Anwar. Saya kerap diundang Suhakam ke majlis anjurannya, berkaitan kebebasan media. Pernah sekali bersama Zainudin Maidin.
KAMI sempat menganjurkan majlis makan malam sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, di Hotel Vistana, yang turut menganugerahkan Pak Said Zahari sebagai tokoh pejuang kebebasan media. Rakan sepejabat, dengan idea kreatifnya, menyiapkan gimik keranda untuk "jenazah Detik" yang dimatikan secara kejam.
Menteri Dalam Negeri bertukar ganti namun AMCP tetap tidak dipinda dan langsung tiada riak daripada PM Najib Razak untuk melonggarkannya, walaupun ada inisiatif untuk meminda ISA. Reaksi bekas menteri, Syed Hamid Albar bagi memansuhkannya juga tidak dihiraukan. Khairy Jamaluddin, ketika berucap pada forum Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), pada 10 Mei 208 turut menggesa agar AMCP dimansuhkan.
Pada 2 Mei lalu, Presiden NUJ, Norila Mohd Daud menggesa kerajaan supaya mengkaji semula AMCP yang disifatkannya sebagai sudah ketinggalan berbanding dengan keadaan semasa.
Malah dalam tempoh 1999 dan 2000, lebih 1,000 wartawan akhbar arus perdana menghantar memorandum kepada Menteri Dalam Negeri supaya akta berkenaan dipinda.
Justeru, dengan berulangnya karenah KDN mengenai permit penerbitan baru-baru ini, membabitkan Harakah, Suara Keadilan dan Roket tidak syak lagi, tiba masanya KAMI kembali aktif berkempen agar bukan sahaja AMCP dimansuhkan, tetapi media dapat dibebaskan sepenuhnya dari kongkongan pemerintah.
Media bebas akan menguntungkan semua pihak, termasuk kerajaan yang bersikap terbuka.
AMCP yang bermula dengan Ordinan Mesin Cetak 1948, yang digunakan untuk berdepan ancaman pengganas bersenjata komunis, sudah tidak relavan lagi kewujudannya. Di zaman kuasa siber mendominasikan situasi, AMCP hanya perkakas terakhir bagi pemerintah korup mempertahankan hari-hari akhirnya.
layari web khas http://bebaskan-media.blogspot.com/
http://www.detikdaily.net/v5/modules.php?name=News&file=article&sid=8682