Keluarga Sarbaini mahu Najib tubuh S'jaya Diraja
Muhammad Faizal
KUALA LUMPUR, 20 Okt: Keluarga bekas Penolong Pengarah Kastam, Allahyarham Ahmad Sarbaini Mohamad hari ini menuntut agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertegas dan menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kembali kematiannya.
Peguam N Surendran yang bersama keluarga allahyarham menjelaskan pada satu sidang media di parlimen, tujuan keluarga itu hadir adalah untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri serta menuntut agar kes tersebut dibuka kembali.
"Pada 6 April yang lepas Penolong Pengarah Kastan Ahmad Sarbaini Mohamad dijumpai mati dalam keadaan syak di pejabat Suruhan Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Arwah pada masa tersebut di bawah siasatan SPRM, berada di pejabat SPRM untuk tujuan siasatan tersebut dan berada di bawah kawalan SPRM pada masa kematiannya.
"Namum pada 26 Sepember yang lepas, Mahkamah Koroner memutuskan bahawa kematian arwah adaah disebabkan nahas (misadventure). Atas sebab inilah keluarga arwah datang membuat tuntutan kerana tidak berpuas hati," jelas Surendran.
Tambah Surendran lagi, antara sebab keluarga menolak keputusan tersebut kerana terdapat keterangan oleh pakar polis yang tidak mempertikaikan bahawa rakaman CCTV selama 22 jam dipadamkan oleh seseorang yang mempunyai kemahiran dan tempoh rakaman yang dipadamkan itu merangkumi masa arwah berada di SPRM dan menemui ajal.
"Selain dari itu adalah sukar dipercayai bahawa arwah yang pergi ke pejabat SPRM secara sukarela kemudiannya kononnya cuba meninggalkan pejabat tersebut melalui tingkap di tingkat 3.
"Terdapat keterangan jelas menunjukkan pegawai SPRM bertindak agresif terhadap atwah termasuk merampas telefon bimbitnya, walaupun tujuan lawatan arwah pada hari tersebut adalah untuk meminda kenyataan bertulisnya," katanya lagi.
Surendran juga memberitahu keluarga arwah juga tidak berpuas hati pada saat kematian itu berlaku.
"Sebagai sebuah badan awam, mereka seharusnya mencari kebenaran dan mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai mereka yang bertindak secara salah.
"Selain itu juga sepanjang perbicaraan SPRM dan Jabatan Peguam Negara telah menyerang nama baik arwah dengan mengemukakan keterangan yang kononnya arwah terlibat dalam kes rasuah walaupun ini tidak relevan bagi siasatan koroner," sambungnya lagi.
Surendran berpendapat terdapat foul play dalam kes kematian arwah dan keluarganya menuntut agar Suruhanjaya Diraja ditubuhkan dengan kadar segera dan menyiasat kembali kes kematian itu.
Dalam pada itu, sepupu Allahyarham Sarbaini, Mokhtar Mansor, 53, mempertikai bagaimana gambar yang terdapat di dalam telefon arwah boleh berada di tangan blogger pro Umno papagomo sehingga mengeluarkan fitnah mengatakan arwah mempunyai perempuan simpanan.
"Kenyataan papagomo mengatakan arwah mempunyai perempuan simpanan adalah tidak benar serta fitnah dan gambar remaja perempuan tersebut adalah merupakan kawan kepada anaknya.
"Kawan kepada anak arwah telah meminjam telefon arwah untuk mengambil gambar dan ini diketahui oleh keluarga arwah sendiri, apa yang ditimbulkan di sini bagaimana gambar di dalam telefon arwah boleh berada di tangan papagomo jika tidak ada pihak yang benar-benar merancang serta berniat jahat," katanya.
Beliau berharap perkara itu juga disiasat selain menuntut pembelaan terhadap kematian arwah Sarbaini.
Turut hadir pada sidang media tersebut adalah bapa allahyarham, Mohamad Itam, 78, dan juga ibunya Aishah Abdul Raof, 73, serta saudara-saudaranya yang lain.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menberitahu pihaknya akan membantu agar memorandum tersebut dapat disampaikan kepada Perdana Menteri dan akan membawa perkara tersebut ke parlimen bagi mengetahui jawapan daripada kementerian terbabit.