Saman Ekor Persis ISA
by Nasrudin Hassan on Wednesday, 02 March 2011 at 13:31
1. ISA adalah satu akta yang zalim kerana menahan dan menghukum tanpa bicara. Begitulah dengan Saman Ekor yang yang dihantar notis samannya terus memaksa penerimanya membayar saman tersebut tanpa mereka diberi peluang melalui proses pengadilan di mahkamah .
2. Jika seseorang ditahan dalam satu - satu sekatan jalanraya oleh pihak polis trafik ataupun JPJ dan kemudiannya surat saman dikeluarkan agar pemandunya menandatangani surat tersebut , pun tidak bermaksud pemandu itu mesti terus membayar saman tersebut .
3. Sebaliknya pemandu itu akan dihadapkan ke mahkamah . Tandatangan itu hanya persetujuan untuk hadhir ke pembicaraan di mahkamah pada tarikh yang telah ditetapkan dalam surat saman tersebut . Kecuali pihak pemandu mengambil langkah mahu menyelesaikan kes di luar mahkamah dengan membayar kompaun . Itu pilihan yang ada .
4. Saman Ekor jelas menzalimi pengguna jalanraya . Pihak polis seperti mengendap - ngendap atau menyorok mahu mengenakan mangsa . Lalu surat saman dihantar ke rumah dan penerima mesti membayar saman tersebut jika tidak beberapa tindakan lain akan dikenakan seperti tidak boleh menyambung roadtax dan lain - lain .
5. Sepatutnya saman tersebut tidak menghukum rakyat atau pengguna jalanraya sebaliknya membawa mereka ke mahkamah untuk diadili sebab bukan satu kes kesilapan dan kekeliruan berlaku . Apa yang penting rakyat perlukan keadilan dan peluang mereka membela diri jika mereka merasakan mereka tidak bersalah .
6. Jika pihak polis mempunyai bukti yang kukuh , maka usah dirisau kerana pesalah tetap akan dihukum atau tidak terlepas dari hukuman justeru pihak polis mempunyai bukti yang kukuh . Apa yang kita maksudkan ialah memberi ruang proses keadilan itu berlaku .
7. Perkara kedua ialah kerajaan sepatutnya mengambil langkah mendidik rakyat atau pengguna jalanraya agar memandu dengan selamat dan mematuhi peraturan jalanraya . Pengalaman saya di Jepun , setiap kenderaan dibekalkan sejenis alat mengesan kelajuan dan alat itu akan mengeluarkan bunyi siren yang kuat apabila pemandunya memandu melebihi had laju yang dibenarkan .
8. Saya difahamkan bahawa kaedah di Jerman bagaimana beberapa buah kereta peronda polis akan berada di beberapa lokasi pada kadar setiap 5 ke sepuluh kilometer sebelum satu - satu sekatan atau tindakan dikenakan kepada pengguna yang masih melanggar peraturan jalanraya . Cara itu dilihat berkesan dan mengurangkan kadar saman dikeluarkan kepada pengguna jalanraya dan pengguna juga selamat .
9. Apa yang berlaku dalam negara kita seperti pihak berkuasa mahu mengenakan pengguna jalanraya . Malah perkataan " Jerangkap Laju " itu sendiri telah menggambarkan bahawa pihak berkuasa mahu memerangkap bukan mendidik pengguna jalanraya .
10. Pengamatan saya mutaakhir ini , hampir setiap kali menghadapi pilihanraya umum akan timbul isu seperti saman ekor ini . Seolah - olah kerajaan sedang memeras rakyat untuk mendapatkan wang saku kerajaan UMNO dan BN bagi menghadapi pilihanraya umum . Malanglah jika perkara ini benar . Jika begini , Saman Ekor telah menjadi ISA kedua negara untuk terus membelenggu rakyat dengan kezaliman menghukum tanpa bicara!
Murnikan Perjuangan Maknakan Kemenangan
Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia