Thursday, March 31, 2011

Saya mengumumkan di sini bahawa saya seorang rakyat Malaysia dahulu, Cina kemudian. Adakah setiap Menteri BN sanggup membuat perishtiharan yang sama?

Ucapan Lim Kit Siang di Dewan Rakyat semasa mengambil bahagian dalam perbahasan usul Menjunjung Titah Diraja pada hari Khamis, 17hb Mac 2010:



Berapa ramai Ahli Jemaah Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, yang mempunyai DNA 1Malaysia dan berupaya lulus tiga ujian mudah 1Malaysia?

Dalam masa lebih kurang dua minggu nanti, Datuk Seri Najib Razak akan merayakan setahun penuh beliau menjawat jawatan Perdana Menteri Malaysia.

Sepanjang tahun ini, slogan 1Malaysia telah mendominasi media, radio dan TV sementara logo 1Malaysia dalam berbagai bentuk, rupa dan saiz telah meresapi setiap perusuk negara ini.

Paradoksikalnya, bagaimanapun, Najib nampaknya semakin hilang kawalan dalam slogan dan konsep 1Malaysianya dan contoh terbaru yang merunsingkan baru-baru ini adalah pada awal bulan Mac, seorang pemimpin UMNO yang biasanya tenang dan rasional iaitu Menteri Kewangan Kedua, Datuk Ahmad Husni Mohd Hanadzlah, tiba-tiba mengeluarkan ungkapan rasis apabila dipaksa oleh anasir-anasir anti-1Malaysia di bawah pengaruh UMNO Pulau Pinang.

Sampai hari ini, Husni belum lagi meminta maaf atas ungkapan rasisnya yang dikeluarkan di suatu jamuan makan malam anjuran Dewan Peniaga Melayu Pulau Pinang di mana beliau berkata: “Kalau orang Cina di Pulau Pinang buli kita, kita lawan balik orang Cina” dan apa yang dikatakan oleh Husni telah dirakamkan di pita.

Seperti para ahli parlimen DAP yang lain, saya amat terkejut dengan Husni yang dulunya seorang Timbalan Menteri dan kini Menteri Kewangan Kedua yang biasanya rasional, tenang dan munasabah, tiba-tiba bertukar mengeluarkan ungkapan yang rasis yang bertentangan dengan apa yang diwakili oleh konsep 1Malaysia Najib.

Persoalan yang timbul di hati setiap rakyat Malaysia adalah mengapakan seorang pemimpin UMNO yang biasanya rasional, tenang dan munasabah boleh mengeluarkan ungkapan yang begitu rasis yang tidak selaras dengan wataknya selama ini?

Satu-satu penjelasan yang boleh dikemukakan adalah apabila Husni pergi ke Pulau Pinang, beliau telah dipengaruhi oleh kempen benci yang berterusan yang dilancarkan oleh UMNO Pulau Pinang yang mengeksploitasikan isu “kaum dan agama” dan membuat tuduhan liar bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Rakyat adalah “anti-Melayu dan anti-Islam”.

Sebagai seorang pemimpin UMNO yang sederhana, Husni sepatutnya mengawal emosi dan memeriksa secara berhati-hati kempen tidak bertanggungjawab dan bersifat hasutan yang dilancarkan oleh UMNO Pulau Pinang itu, yang secara melulu mengeksploitasikan isu “kaum dan agama”, bersubahat dengan media kawalan UMNO seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian, langsung tidak mengendahkan kempen 1Malaysia Najib – dan bukannya terjangkit oleh virus UMNO Pulau Pinang sampai ke tahap membantu dan bersubahat dalam kempen tidak bertanggungjawab dan bersifat hasutan yang menyebarkan rasa benci dan rasis.

Bila pemimpin UMNO sederhana seperti Husni ini boleh hilang kawalan sederhana mereka dan terperangkap dengan politik benci UMNO Pulau Pinang, apakah harapan dan masa depan yang tertinggal dalam slogan dan konsep 1Malaysia Najib?

Adakah Perdana Menteri mendidik semua ahli Jemaah Menteri termasuk Timbalan Perdana Menteri supaya mereka faham sepenuhnay apa yang dimaksudkannya dengan konsep 1Malaysia?

Saya pernah bertanya secara terbuka bulan lepas samada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin benar-benar dan serius berkomited terhadap konsep 1Malaysia Najib – samada beliau bertindak sebagai pegawai kanan Najib atau beliau sebenarnya bertindak bagi pihak bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir untuk menjaga warisan Mahathir di zaman pemerintahan Najib.

Saya bertanya samada Muhyiddin telah mendapat kelulusan dan persetujuan dari Najib terhadap semua ungkapan dan tindakan yang beliau lakukan yang sebenarnya memudaratkan pancapaian slogan dan konsep 1Malaysia, termasuklah:

*

Beliau mempertahankan sesi “brain washing” dan indoktrinisasi “ketuanan Melayu” oleh Biro Tata Negara sungguhpun timbulnya banyak kritikan dan pendedahan mengenai kandungan yang bersifat rasis, pemecahan dan hasutan selama dua dekad ini;
*

Percubaan beliau untuk meminggirkan keseriusan ungkapan Nasir Safar dengan menghurainya sebagai “a slip of tongue” apabila pembantu politik kanan Najib berkenaan mengecap kaum India dan Cina di Malaysia sebagai “pendatang”, mendakwa bahawa kaum Cina kemari sebagai pengemis dan wanita kaum Cina sebagai pelacur; mendakwa bahawa UMNOlah satu-satunya parti yang bertanggungjawab menggariskan perlembagaan, menafikan sumbangan MCA dan MIC, dan mengugut untuk menarik balik status kerakyatan mereka yang menentang kuat dasar had jumlah matapelajaran SPM.
*

Kebisuan beliau yang luar biasa terhadap forum JAKIM yang diadakan akhir bulan Januari di mana 800 kakitangan kerajaan yang hadir telah digesa memberontak menentang konsep 1Malaysia Najib. Di forum yang berkenaan, pensyarah dari pihak kerajaan telah mengeluarkan ucapan yang menghasut dan mengapi-apikan, menyalahkan masyarakat Kristian sebagai “membangkitkan kemarahan masyarakat Islam” dengan mencabar larangan penggunaan perkataan “Allah” dan menyalahkan ahli-ahli politik UMNO/BN kerana gagal “mempertahankan Islam”. Salah seorang pensyarah membangkitkan kemungkinan berlaku huru-hara seperti May 13 sekiranya masyarakat Kritian, yang beliau mendakwa sebagai “mengamalkan ekstrimism” tidak “berhenti”, dan mengugut bahawa “Siapa tau, mungkin sekali lagi 13 May?”
*

Kebisuan beliau yang luar biasa terhadap pendedahan mengenai setiausaha eksekutif UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh yang meracau di majlis kelab UMNO di London awal tahun ini; dan
*

Tindakan kuat beliau untuk membantu dan bersubahat dengan kempen media kawalan UMNO seperti Utusan Malaysia, Berita Harian, radio dan TV Kerajaan yang berbau hasutan serta mengapi-apikan, yang memainkan sentimen perkauman dan agama, secara jahat menggambarkan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng serta Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang sebagai “anti-Melayu” dan “anti-Islam”.

Saya hendak tanya Muhyiddin secara terus: adalah beliau sedar bahawa keseriusan dan keikhlasan pentadbiran Najib mengenai 1Malaysia kini menghadapi cabaran yang paling serius di Pulau Pinang – mengapakah konsep 1Malaysia terjejas dan dilemahkan oleh berbagai serangan berterusan yang berniat jahat, mengeksploitasi sentimen kaum dan agama oleh media dan agen UMNO, demi menfitnah nama baik Ketua Menteri serta kerajaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang?

Sekiranya rakyat Pulau Pinang melihat konsep 1Malaysia sebagai palsu dan hipokritikal, bagaimanakah beliau boleh mengharapkan rakyat negeri Sabah dan Sarawak, serta rakyat di seluruh negara mempunyai keyakinan terhadap slogan tersebut?

Sebagi seorang Timbalan Perdana Menteri, Myhyiddin harus berdiri di baris depan untuk mendapat kerjasama semua ahli parlimen dan parti politik dari luar BN supaya kempen 1Malaysia ini bejaya kerana ini berkait dengan isu negara dan bukan agenda mana-mana parti politik.

Melainkan konsep 1Malaysia hanya merupakan gimik UMNO dan BN, jika tidak, Muhyiddin harus mengambil inisiatif mendekati para ahli parlimen dan parti-parti politik dari luar BN supaya mengetepikan perbezaan parti dan memupuk pembangunan negara berlandaskan konsep 1Malaysia.

Beliau seharusnya bertemu dengan para ahli parlimen parti-parti pembangkang di Parlimen dan membentuk platform semua-parti untuk memastikan konsep 1Malaysia dicapai di setiap lapisan masyarakat Malaysia.

Bagaimanapun, Myhyiddin tidak melakukan semua ini sepanjang setahun beliau menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri. Saya pernah mencadangkan supaya satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang diketuai oleh pihak pembangkang ditubuhkan atas isu 1Malaysia. Cadangan ini tidak mendapat sambutan langsung dari Muhyiddin dan menteri-menteri BN semuanya menunjukkan sikap yang tidak berminat.

Ini amat tidak masuk akal kerana sebenarnya, Muhyiddin dan Jemaah Menteri Najib yang sepatutnya memujuk para ahli parlimen Pakatan Rakyat supaya bersetuju dengan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai 1Malaysia dan bukan sebaliknya!

Mengapakah ini berlaku? Adalah kerana Jemaah Menteri Najib penuh dengan menteri-menteri yang mencurigai konsep 1Malaysia dan menganggapnya tidak lebih dari satu wayang politik yang tidak perlu dilayan dengan serius?

Siapakah menteri-menteri dalam Jemaah Menteri Najib yang mempunyai DNA 1Malaysia? Saya tak nampak satu pun. Itulah sebab mengapa samada Muhyiddin atau menteri-menteri yang lain, tidak seorang pun yang bertindak seperti seorang penyokong slogan dan konsep 1Malaysia.

Ada tiga ujian mudah untuk menguji samada Myhyddin dan Jemaah Menteri benar-benar ikhlas dan serius dan berkomited terhadap 1Malaysia Najib, iaitu:

*

Samada beliau bersetuju dengan penubuhan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai 1Malaysia yang diketuai oleh pihak pembangkang;
*

Samada beliau bersedia untuk mengumumkan bahawa asas 1Malaysia adalah “ketuanan rakyat Malaysia” dan bukannya “ketuanan Melayu”; dan
*

Samada beliau bersedia untuk menyokong objektif 1Malaysia sebagaimana yang ditafsirkan oleh Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan 1Malaysia (GTP) untuk membentuk sebuah negara di mana setiap rakyat menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia dahulu dan mengikut kaum, agama atau wilayah kemudian.

Adakah Najib, Muhyddin dan semua pemimpin UMNO bersedia berdiri dan mengumumkan bahawa mereka adalah rakyat Malaysia dahulu dan Melayu kemudian?

Saya mengumumkan di sini bahawa saya seorang rakyat Malaysia dahulu, Cina kemudian. Adakah setiap Menteri BN sanggup membuat perishtiharan yang sama?

Berapa ramai Menteri, termasuk Timbalan Perdana Menteri, yang mempunyai DNA 1Malaysia dan boleh lulus dalam tiga ujian mudah yang disebut tadi?

Malah, berapa ramai ahli-ahli Parlimen BN yang mempunyai DNA 1Malaysia dan boleh lulus dalam tiga ujian mudah berkenaan?

Jelas sekali, 1Malaysia membawa makna yang berbagai-bagai kepada Najib, Jemaah Menteri dan kerajaan – samada menteri dalam UMNO atau bukan UMNO.

Apabila menteri-menteri bukan UMNO seperti Menteri KPI yang bertanggungjawab terhadap Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP), Tan Sri Koh Tsu Koon, dan Menteri-menteri dari MCA, MIC dan parti-parti komponen BN di Sabah dan Sarawak tidak berani mempertahankan konsep 1Malaysia dan berdiri berucap di mesyuarat Jemaah Menteri mengenai keingkaran dan pemberontakan Jakim, atau eksploitasi sentimen “kaum dan agama”secara tidak bertanggungjawab oleh media dan agen UMNO, maka persoalan mengenai samada 1Malaysia mempunyai sebarang makna setelah dilaungkan buat pertama kalinya oleh Najib bulan April yang lepas menjadi amat penting.

Saya berani berkata bahawa, sebagai hakikatnya, musuh 1Malaysia bukanlah dari luar BN tetapi dari dalam UMNO sendiri.

Inilah sebab mengapa cadangan saya supaya satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai 1Malaysia tidak mendapat sebarang sambutan – termasuk dari Menteri KPI, Tan Sri Koh Tsu Koon – yang bermakna bahawa beliau tidak yakin Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) akan mendatangkan sebarang hasil ketara dan tidak akan berdaya menahan penelitian orang ramai dan parlimen.

GTP 1Malaysia menyentuh mengenai “menggalakkan media 1Malaysia yang inklusif”. Katanya:

“Sebaliknya, jika dan apabila terdapat kaedah pelaporan dan penulisan yang berbentuk terlalu berpusatkan sesebuah etnik atau lebih bersifat perkauman, maka, ini akan memperkukuhkan lagi tembok perkauman dan bukan meruntuhkannya. Selanjutnya, daripada memberikan kritik yang sahih dan membina, sesetengah penulis menyalah guna hak kebebasan bersuara yang lebih besar yang sedia ada dengan menggunakan istilah dan perasaan yang bersifat perkauman atau hasutan

“Sementara penapisan adalah bercanggah dengan demokrasi, terdapat keperluan bagi memulakan, menerap dan menghayati secara dalaman suatu komitmen terhadap kewartawanan yang bercorak professional, suatu perasaan kebertanggungjawaban dan kawal diri, dengan sifat sensitif terhadap pelbagai pandangan dan perasaan pelbagai komuniti di Malaysia.”

Sebarang kajian bebas terhadap senario media massa di Malaysia akan menampakkan antara yang paling bersalah kerana “kaedah pelaporan dan penulisan yang berbentuk terlalu berpusatkan sesebuah etnik atau lebih bersifat perkauman”, salah gunakan “istilah dan perasaan yang bersifat perkauman atau hasutan”, langsung tidak sensitif terhadap “pelbagai pandangan dan perasaan pelbagai komuniti di Malaysia” selama dua tahun sejak tsunami politik 308 dalam pilihanraya umum 2008 adalah media-media UMNO – Utusan Malaysia dan Berita Harian.

Tidak siapa yang mencadangkan supaya Utusan Malaysia atau Berita Harian ditutup, tetapi apakah yang telah dilakukan oleh mereka yang bertanggungjawab menghasilkan Pelan Hala Tuju GTP khasnya Menteri KPI, Koh Tsu Koon - selain daripada menyokong “menggalakkan satu media 1Malaysia yang inklusif” – supaya berkomunikasi dengan media UMNO yang menyeleweng supaya “memulakan, menerap dan menghayati secara dalaman suatu komitmen terhadap kewartawanan yang bercorak professional, suatu perasaan kebertanggungjawaban dan kawal diri, dengan sifat sensitif terhadap pelbagai pandangan dan perasaan pelbagai komuniti di Malaysia.”, dan paling penting lagi, makna sebenar konsep 1Malaysia?

Ironiknya, media UMNO-lah yang membekalkan bukti terbaik mengenai kebangkitan Middle Malaysia.


Dalam masa lampau, semua racun, dusta dan hasutan yang dikeluarkan secara bertubi-tubi oleh media UMNO seperti Utusan Malaysia dan Berita Harian selama dua tahun berturut-turut ini – misalnya pembohongan bahawa DAP adalah anti-Melayu dan mahu menghapuskan sistem Raja Melayu dan menubuhkan republik – tentu telah mencetuskan huru-hara di Malaysia khasnya sebelum Mac 8, 2008 di mana sumber maklumat rakyat jelata terhad kepada media arus utama.


Bagaimanapun, pada hari ini, ramai tidak lagi berminat membaca semua racun, dusta dan hasutan yang disiarkan oleh media arus utama kerana mereka tidak lagi berkredibiliti, rakyat tidak lagi menjadi hamba media arus utama yang dimonopoli oleh UMNO/BN - sungguhpun kuasa jahanam mereka untuk mencetus masalah tidak boleh dipandang ringan juga.

Dalam masa-masa yang lepas, pemimpin-pemimpin DAP tentu merasa cemas dengan semua dusta dan racun yang disebarkan oleh suratkhabar UMNO ini.

Hari ini, sunggupun kami tetap mengawasi laporan media UMNO, tetapi adalah jelas dengan kebangkitan Malaysia Tengah, tidak lagi ujud keadaan di mana dusta dan pembohongan Utusan Malaysia dan Berita Harian dianggap sebagai kebenaran yang tidak tercabar oleh orang ramai. Rakyat Malaysia semua kaum – Melayu, Cina, India , Kadazan dan Iban – kini berupaya membezakan kebenaran daripada pembohongan, khasnya yang disebarkan oleh media UMNO.

Cara paling baik untuk memapalkan kepalsuan, racun, pembohongan dan dusta Utusan Malaysia dan Berita Harian adalah menyangkalnya dengan fakta dan hujah yang rasional, sungguhpun ini tidak bermakna pihak Polis dan Peguam Negara tidak perlu mengambil tindakan terhadap media UMNO ini demi melindungi integriti dan kepentingan Malaysia yang majmuk.

Malang sekali, kita tidak mempunyai institusi-institusi nasional yang berkesan, bebas dan profesional. Kamar Peguam Negara, Polis, Kehakiman malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gagal melaksanakan tugas mereka secara adil dan saksama, menegakkan apa yang betul dan benar, kerana sebaliknya lebih rela berkhidmat demi tuan politik mereka dan bukannya demi kepentingn negara.

Rakyat Malaysia berhak bertanya mengapakah Kementerian Dalam Negeri begitu tidak sensitif dan tidak prihatin terhadap eksploitasi sentimen “kaum dan agama” yang terus menerus dipermainkan oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian, sehinggakan 1Malaysia Najib menjadi bahan sindiran, tetapi begitu cepat mengambil tindakan terhadap media lain seperti China Press yang salah melaporkan bahawa Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, telah meletakkan jawatan sungguhpun beliau dijangka bersara dalam bulan September ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, telah menafikan bahawa editor China Press telah dipaksa meletak jawatan, jika tidak suratkhabar berkenaan akan digantung selama enam bulan sebagai hukuman – beliau hanya mengakui bahawa surat tunjuk-sebab telah dihantar kepada suratkhabar berkenaan.

Hishammuddin sepatutnya menjawab di Parlimen – apakah kesalahan yang begitu serius yang telah dilakukan oleh laporan China Press berkenaan? Akhbar tersebut telah membuat satu kesilapan, dan satu pembetulan telah diterbitkan.

Dalam sistem demokrasi yang matang dan di negara-negara maju, media mereka pernah membuat laporan bahawa presiden atau perdana menteri mereka telah meletak jawatan, dan sekiranya didapati laporan berkenaan silap, mereka akan menerbitkan pembetulan, dan menghadapi masalah kredibiliti yang terjejas sebagai “hukuman” nya.

Mengapakah Menteri Dalam Negeri begitu garang terhadap media dalam kes ini – adakah laporan yang berkenaan begitu serius sehingga boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara?

Sekiranya Hishammuddin cuba menjustifikasikan tindakannya dengan alasan-alasan seperti ini, ia hanya akan menjadi bahan ejekan ramai sahaja!

Contoh-contoh tadi yang mencabar konsep 1Malaysia sepatutnya dikaji dan ditelitikan oleh satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pelan Hala Tuju GTP sekiranya Jemaah Menteri dan Parlimen serius dengan objektif nasional ini.

Di sini, saya ingin memberikan pemberitahuan bahawa saya akan membentangkan satu usul untuk meminda Usul Menjujung Kasih Titah Ucapan Diraja untuk menambahkan perkataan-perkataan berikut -

“dan menubuhkan satu Jawatankuasa Pilihan Parlimen mengenai Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan yang diketuai oleh seorang Ahli Parlimen Pembangkang.”

Jawatankuasa Pilihan Parlimen 1Malaysia ini bukan sahaja akan menyelia pelaksanaan prinsip-prinsip “Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, tetpai turut menyelia tujuh kumpulan isu dan inisiatif yng berkaitan dengna perpaduan iaitu:

1. Ekonomi dan perpaduan negara di bawah 1Malaysia;
2. Pendidikan dan perpaduan negara di bawah 1Malaysia;
3. Menggalakkan interaksi sosial 1Malaysia;
4. Mengurusakan polariti agama dan budaya;
5. Ke arah kerajaan 1Malaysia yang sebenarnya;
6. Menggalak dan mengamalkan politik 1Malaysia yang inklusif
7. Menggalakkan media 1Malaysia yang inklusif

Jawatankuasa Pilihan Parlimen 1Malaysia juga akan menyelia pencapaian-pencapaian enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional atau NKRA iaitu: mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menambahbaik pengangkutan awam, memperkasa prasarana luar bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Menyeru supaya ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menkaji mengapakah impian dan aspirasi rakyat Sabah dan Sarawak semasa pembentukan Malaysia tidak tercapai atau dikhianati selama lima dekad.