'Kerakyataan Mismah bertentangan dasar negara'
Sep 27, 11 1:48pm
Kongsi
Meskipun penduduk tetap yang mendapat kewarganegaraan Malaysia - Mismah, mendakwa beliau mendapat kerakyatan negara ini melalui saluran yang sah, namun Pemuda PAS mempersoalkan rasional di sebalik pemberian taraf berkenaan yang dikatakan bertentangan dengan dasar imigresen negara.
Dalam satu kenyataan media, ketua pemuda PAS Johor Suhaizan Kaiat (kanan, berjaket hitam) mendakwa bahawa Mismah - atau nama sebenarnya Nismah Naim yang berasal dari kepulaun Bawean, Indonesia - tidak layak untuk mendapatkan status penduduk tetap mahupun kerakyatan mengikut peraturan imigresen Malaysia.
Menurut Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), wanita itu diberikan status penduduk tetap pada 17 Julai, 1982 dan kewarganegaraan pada 31 Januari tahun ini, selepas 29 tahun sebagai seorang pemastautin tetap.
Langgar empat kriteria
Dalam temu bual dengan akhbar berbahasa Melayu Sinar Harian, Mismah, 47, mendakwa bahawa dia mula-mula menjejaki Malaysia pada tahun 1982 sebagai seorang pekerja binaan. Suaminya, Mawasi Mawardi, 51, juga diberikan status penduduk tetap.
"Ini bermakna Mismah mendapat status PR kurang daripada satu tahun selepas dia tinggal di negara ini. Kes Mismah bercanggah dengan kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Alias Ahmad," kata Suhaizan.
Menurut laporan berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia pada 23 September lalu, Alias, yang mengulas laporan dakwaan warga Bangladesh diberi kerakyatan untuk mengundi BN, berkata bahawa hanya orang asing yang berkahwin dengan rakyat Malaysia dan anak-anak mereka di bawah enam tahun yang telah bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya lima tahun berturut-turut layak memohon sebagai penduduk tetap, mengikut Akta Imigresen 1963.
Alias turut menjelaskan bahawa Jabatan Imigresen tidak membenarkan warga asing dengan permit kerja sementara dari memohon untuk menjadi penduduk tetap.
"Permohonan juga dibuka untuk pelabur, pakar-pakar dan profesional yang diiktiraf oleh agensi-agensi kawal selia," katanya.
Pengkhianatan terhadap negara
Pemuda PAS juga mendapati bahawa Jabatan Imigresen menyatakan dengan jelas bahawa hanya rakyat asing dengan permit masuk sah dan telah bermastautin di Malaysia sekurang-kurangnya lima tahun boleh memohon untuk mendapatkan status penduduk tetap. Mereka yang layak untuk mendapatkan permit masuk adalah seperti berikut:
• Profesional
• Kanak-kanak profesional berumur enam tahun ke bawah
• Suami atau isteri kepada profesional
• Individu yang mendapat kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana kepentingan ekonomi negara
• Anak-anak warganegara yang berumur enam tahun ke bawah
• Kes-kes khas
Justeru, Suhaizan berkata bahawa penerbitan status penduduk tetap kepada Mismah telah melanggar sekurang-kurangnya empat kriteria - dia bukan golongan profesional; suaminya bukan warganegara atau juga golongan profesional; dan dia hanya bermastautin di Malaysia kurang daripada satu tahun.
"Pemuda PAS menuntut Alias bagi memberikan jawapan kepada rakyat Malaysia berhubung isu Mismah."
Dewan pemuda PAS juga mahukan Ketua Pengarah JPN, Jariah Mohd Said menjelaskan mengapa Mismah diberikan taraf penduduk tetap dan disusuli dengan kewarganegaraan sedangkan dia hanya tinggal di Malaysia untuk kurang daripada satu tahun.
“Mismah ini hanyalah satu kes contoh sahaja. Pemuda PAS sangat khuatir berkenaan pemberian status PR kepada ribuan warga asing dalam negara ini
“Pemberian kerakyatan kepada orang-orang yang tidak berkelayakan demi kepentingan politik adalah satu pengkhianatan kepada negara,” kata Suhaizan.
http://www.malaysiakini.com/news/176985