Tuesday, November 9, 2010

PUNCA MASALAH PENGHINAAN BERLAKU?

Selasa, November 09, 2010

Tak percaya? Umnolah punca bangsa Melayu dihina sekarang!

Umnolah yang menjadi penyebab mengapa bangsa Melayu hari ini dihina di tanahair sendiri, tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad sebagai menjawab persoalan yang dibangkitkan Naib Presiden Umno, Dato' Zahid Hamidi kepada media.

PAS cuba memberi jawapan kepada Zahid yang tercari-cari punca mengapa hak orang Melayu sering dipertikaikan di buminya sendiri. Zahid cuba membentuk persepsi orang Melayu kononnya mereka dalam keadaan terancam, dengan harapan mereka akan menyalahkan PAS dan Pakatan Rakyat dalam isu ini.

Kata Ustaz Idris, ini taktik lama Umno untuk memulihkan tenaga yang semakin lemah dan tidak berpengaruh lagi. Strategi ini adalah seperti kata pepatah Arab "Dia pukul orang, dia mengadu bahawa orang lain pukul dia; dia memaki orang, dia mengadu orang lain memaki dia", ujarnya lagi

Hakikatnya, tegas beliau, Umnolah yang menyebabkan bangsa Melayu hilang jati diri dan lemah kuasa politik, sehingga mengakibatkan politik dendam yang berlubuk di dalam hati pemimpin parti Melayu itu lebih mengutamakan Umno-Putera, sekaligus Melayu jadi bangsa yang merempat di bumi sendiri.

Jelasnya, Umno cuba memutar-belitkan sejarah di Pulau Pinang kononnya Melayu terpinggir sejak pemerintahan Pakatan Rakyat, walhal Umno-Gerakan lah yang memerintah negeri itu hampir 51 tahun lamanya, sehingga menyebabkan Melayu merempat.

"Zahid cuba nak salahkan Melayu yang sering bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur. Hakikat yang berlaku, orang Melayu tidak bertolak ansur, sebaliknya pemimpin Umno yang terlalu bertolak ansur, menyebabkan Melayu terpinggir di negeri sendiri.

"Selama 53 tahun Umno memerintah, mereka gagal untuk mengangkat martabat orang Melayu di negara ini. Banyak dasar-dasar yang dibuat cantik, tetapi oleh kerana pelaksanaannya yang diberikan kepada pemimpin ynag mengkhianat amanah ini maka akhirnya semuanya gagal," tegas beliau.

Ustaz Idris mendakwa, pemimpin Umno sepatutnya malu kepada pemimpin parti lain di negara ini yang gagal mengangkat mertabat bangsa sendiri.

"Ke mana pergi nilai saham khas Bumiputera RM54 bilion? RM52 bilion sudah lesap, hanya tinggal RM2 billion. Ke manakah pergi tanah rezab Melayu 3 juta hektar yang ditinggal oleh penjajah pada tahun 1957? Pada tahun 1995 tanah rezab Melayu hanya 1.7 juta hektar," soal beliau.

Katanya, Umno sebenarnya tidak layak untuk menjaga hak orang Melayu, ia ibarat seperti menyuruh serigala menjaga kambing.

"Sudah sampai masanya Umno berundur dan orang Melayu pula meninggalkan parti itu dengan menyertai PAS sebagai ganti kepada Umno yang nazak," pintanya.
Dicatat oleh Tarmizi Mohd Jam di Selasa, November 09, 2010

http://sanggahtoksago.blogspot.com/2010/11/tak-percaya-umnolah-punca-bangsa-melayu.html