Thursday, March 3, 2011

Semarakkan protes saman ekor

Semarakkan protes saman ekor

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Mac: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, semua jentera penerangan perlu menyemarakkan protes saman ekor yang tidak adil dan membebankan rakyat.

Ini, katanya kerana masih kedapatan 17.1 juta saman ekor yang disenarai hitam sehingga pihak polis terpaksa melanjutkan tempoh bayaran saman diskaun sehingga 10 Mac ini.


“Ini bermakna rakyat sudah protes secara senyap terhadap saman ekor. Sila naikkan kain rentang di seluruh negara,” ujarnyakepada Harakahdaily.


Katanya, kain rentang yang bertulis "Tolak Saman Ekor ,Tolak BN Di PRU 13", "PR Menang Saman Ekor Dihapuskan", "Undi BN , Bererti Anda Setuju Saman Ekor", "Jangan Undi BN, Jika Anda Mahu Hapuskan Saman Ekor" dan lain-lain boleh diletakkan di tempat yang sesuai termasuk di tepi jalan raya.



PAS, ujarnya berpandangan hukuman yang dikenakan kepada pemandu yang tidak membayar saman ekor, sehingga tidak boleh berurusan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan adalah tindakan yang zalim.

Ini, tambahnya menggalakkan mereka yang tidak berlesen dan mempunyai cukai jalan.

Apabila ini berlaku, katanya maka yang rugi ialah kerajaan kerana kehilangan hasil negara.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada rakyat yang kreatif yang telah melaungkan slogan kepada mereka yang sedang beratur ketika hendak membayar saman.

“Antara slogannya ‘kalau tidak mahu saman ekor, kita tolak BN’ , walaupun slogan ini hanya spontan tetapi telah disambut oleh orang ramai,” katanya.

Menurutnya, daripada awal lagi, PAS menggesa pihak kerajaan membawa mereka ke mahkamah untuk dibicarakan barulah mangsa akan berpuas hati kerana kesalahan mereka diketahui.

“Anda mampu mengubahnya. Ubah sekarang sebelum rakyat muflis angkara saman ekor,” ujarnya lagi.


*****************


Umno BN restu budaya samseng di Merlimau
Hazayani Zakaria

JASIN, 3 Mac: Umno BN seolah-olah merestui budaya samseng sewaktu kempen pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Merlimau.

Pengarah Pilihan raya PAS PRK Dun Merlimau, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam sebagai pengarah PRK bagi BN yang hanya berdiam diri menunjukkan beliau mahu keadaan ini berterusan.

(Gambar: Antara kain rentang PAS PRK Merlimau yang dikoyak oleh puak samseng.)

Beliau berkata demikian sebagai mengulas beberapa insiden keganasan yang didakwa dilakukan oleh penyokong BN dalam tempoh beberapa hari kempen ini.

"Datuk Seri Ali Rustam tak boleh kawal tindakan ini ke?

“Ini menunjukkan beliau merestui budaya samseng ini," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa pada sidang media di Markas Induk PAS, di sini hari ini.

Beliau juga yakin perbuatan khianat yang dilakukan termasuk cubaan membakar pentas ceramah DAP sengaja dilakukan untuk membangkitkan kemarahan penyokong Pakatan Rakyat khususnya PAS.

"Saya percaya mereka buat macam ini supaya orang PAS marah, dan balas balik apa yang dilakukan itu.

"Dengan itu mereka boleh tuduh orang PAS ganas, ekstremis," katanya.