Thursday, September 29, 2011

Kaji semula Mahkamah Syariah di Malaysia

Kaji semula Mahkamah Syariah di Malaysia

Jofri Jaraiee (PAS Miri)
Apakah perlaksanaan undang-undang Islam di Mahkamah Syariah di Malaysia benar-benar selari dan menepati dengan kehendak Al Quran dan Hadis?

Inilah persoalan yang perlu kita fikir bersama kerana selama ini terdapat beberapa keraguan tentang hukuman yang di laksanakan oleh Mahkamah Syariah di Malaysia seperti hukuman orang yang mencuri, berzina, perogol dan juga peminum arak yang agak berlainan dengan hukuman yang terdapat dalam Al Quran dan Hadis.

Apa peranan sebenar Mahkamah Syariah terhadap perlaksanaan hukum Islam? Mahkamah Syariah ialah institusi kehakiman yang membicarakan serta menjatuhkan hukuman ke atas orang Islam bagi kesalahan sivil dan jenayah agama mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan untuknya.

Sejarah

Pada kurun 15, Islam telah bertapak di Melaka. Undang-Undang Islam mula digunakan apabila pembesar dan raja-raja memeluk agama Islam. Risalah Hukum Kanun, Undang-undang Melaka dan Undang-undang Pahang adalah undang-undang Islam yang telah wujud ketika itu.

"Sebelum kedatangan British undang-undang Islam adalah undang-undang negara di Malaysia. Mazhab yang diikuti ialah Mazhab Syafie" kata Hakim Edmond JC – Shaik Abdul Latif, dll lwn Shaik Elia Bux).

"Undang-Undang Islam bukanlah undang-undang asing tetapi undang-undang tempatan & undang-undang negara" (Kes Ramah lwn Laton – Mahkamah Rayuan Negeri Melayu Bersekutu –(1927) 6 FMSLR 128).

Kejatuhan Melaka pada 1511, Portugis dan kemudiannya Belanda telah menjajah Melaka. Walaubagaimanapun kedudukan dan pelaksanaan undang-undang Islam tidak terjejas.

Mulai 1786, kedatangan Inggeris mengambil Pulau Pinang dan Kedah menjadi titik mula usaha pengenepian Undang-undang Islam. Mereka menganggap Pulau Pinang ketika itu tidak mempunyai sebarang sistem perundangan (Undang-undang) dan mendakwa undang-undang Islam yang diamalkan adalah zalim. (Dakwaan mereka palsu kerana ketika itu Tanah Melayu telah mempunyai Undang-undang Islam yang bertulis).

Perlembagaan Malaysia 1984

Kuasa Mahkamah Syariah yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Malaysia 1984 dengan pindaan adalah seperti berikut:

1. Boleh membicara dan menghukum dengan hukuman penjara atau denda ke atas orang Islam sahaja

2. Denda tidak melebihi RM5000.00 sahaja atau

3. 3 tahun penjara atau

4. Hukuman rotan tidak melebihi daripada enam kali sebatan atau

5. Gabungan ketiga-tiganya (denda, penjara dan rotan)

Kalau di rujuk kepada perkara tersebut di atas jelas sekali undang-undang syariah di Malaysia tidak berapa menepati dengan hukuman yang terdapat dalam Al Quran dan Hadis sepenuhnya dan masih lagi terikat dengan tuntutan perlembagaan sekular Malaysia.

Perlembagaan Malaysia juga membenarkan sistem kehakiman berganda yang unik, iaitu undang-undang sekular (jenayah dan sivil) dan undang-undang syariah. Pelaksanaan dan hubungan antara kedua-dua sistem perundangan ini agak rumit dan pernah menimbulkan ketidaktentuan.

Perlembagaan Malaysia, dikenali juga sebagai Perlembagaan Persekutuan mengandungi 183 perkara, adalah undang-undang tertinggi di Malaysia.

Ia merupakan satu dokumen undang-undang bertulis yang telah dibentuk berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957.

Perlembagaan ini telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian dalam tahun 1956. Perlembagaan berkenaan berkuatkuasa sejurus selepas kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

(Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.)

Seperti yang tercatat dalam sejarah sebelum kedatangan British undang-undang Islam adalah undang-undang negara di Tanah Melayu. Sekarang negara kita sudah merdeka dari jajahan British maka sepatutnya negara kita mengambil semula undang-undang syariah yang telah diamalkan semasa Tanah Melayu berdaulat dan bebas dari jajahan.

Selepas kita mencapai kemerdekaan sepatutnya Perlembagaan yang telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid dalam tahun 1956 dimansuhkan dan kita perlu mengamalkan semula undang-undang syariah yang pernah diguna pakai di Tanah Melayu sebelum dijajah.

Kita yakin tiada masalah untuk melaksanakan perundangan syariah sepenuhnya kerana sekarang pun kita ada dua sistem perundangan iaitu sistem perundangan common law dan perundangan syariah.

Undang-undang Malaysia berteraskan sistem perundangan common law, sebagai hasil langsung penjajahan Tanah Melayu, Sarawak, dan Borneo Utara oleh Britain sejak awal 1800-an hingga 1960-an. Common law merupakan satu istilah bahasa Inggeris yang bermaksud "undang-undang am" atau "undang-undang semua" dan merupakan sebahagian daripada undang-undang kebanyakan negara, terutama mereka yang mempunyai sejarah penjajahan empayar British keatas mereka.

Bagi umat Islam yang taat dan patuh dengan ajaran Islam sudah pasti tiada keraguan dan masalah untuk menerima perundangan Islam sepenuhnya dan bagi yang bukan Islam mereka boleh menggunakan undang-undang adat resam dan agama masing-masing atau memilih ‘Common Law’ seperti yang di amalkan sekarang.

Terserah kepada mereka untuk memilih perundangan yang mereka rasa adil buat mereka jadi tidak timbul masalah orang bukan Islam takut dengan perundangan syariah yang hanya dilaksanakan terhadap umat Islam.

Kita minta agar pakar dalam perundangan dan perlembagaan Malaysia tampil kehadapan untuk menjelaskan dan membetulkan keadaan yang kucar-kacir selama ini agar rakyat faham apa sebenarnya perundangan syariah yang sebenarnya.

Mudah-mudahan dengan penerangan dan penjelasan dari pakar perundangan dapat difahami dengan tepat dan betul oleh rakyat semua.

Pakar perundangan Islam pun mesti mempastikan bahawa perundangan syariah di Malaysia benar-benar menepati dan menuruti kehendak Al Quran, Hadis dan itjimak Ulama bukan hanya berpandukan kepada perlembagaan penjajah.

Hudud termasuk dalam perundangan syariah dan kalau perkara ini dapat diperbetulkan dan dikaji semula, kita yakin tiada timbul soal penolakan hukum hudud dan syariah yang memang sesuai untuk dilaksanakan sepanjang zaman.

Mengapa Hudud?

Hukuman hudud ( حدود ) adalah hukuman yang telah ditentukan dan ditetapkan Allah S.W.T di dalam Al-Quran dan Hadis. Hukuman hudud ini adalah hak Allah S.W.T yang bukan sahaja tidak boleh ditukar ganti hukumannya atau diubahsuai atau dipinda malah tidak boleh dimaafkan oleh sesiapapun di dunia ini.

Mereka yang melanggar ketetapan hukum Allah yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T dan RasulNya adalah termasuk dalam golongan orang yang zalim.

Sekiranya benar mahkamah syariah di Malaysia melaksanakan perundangan menepati dan menuruti Al Quran dan Hadis maka dengan sendiri isu hukuman hudud tidak timbul kerana perintah Allah adalah perundangan yang terbaik untuk umat Islam dan bukan Islam. Kita minta rakan-rakan seperjuangan agar jangan mudah melatah dan mengeluarkan kenyataan yang akhirnya merosakan perhubungan di antara kaum, agama dan fahaman politik masing-masing.

Kita minta semua pihak berbincang dengan hati yang terbuka dan selesaikan masalah ini dengan cara yang terbaik tanpa sebarang gangguan dari pihak yang jahil tentang undang-undang syariah.

Setelah kita mengetahui sedikit sebanyak tentang sejarah Tanah Air kita sebelum dijajah maka jelaslah yang Tanah Melayu sebelum dijajah sudah melaksanakan undang-undang Islam. Kita mendesak agar pihak kerajaan mengkaji semula perundangan syariah di Malaysia agar ianya selari dengan kehendak Al Quran dan Hadis.

Jangan mengubah apa-apa kandungan hukuman yang telah ditetapkan dalam Al Quran dan Hadis semata-mata menurut kehendak perlembagaan yang direka bentuk oleh penjajah yang bercanggah dengan syariah Islam.

Berlaku adil dan saksama kepada semua itulah yang di ajar oleh Islam.

Bagi mereka yang masih ragu-ragu dan tidak mengetahui tentang perundangan Islam sebenar, kenalah rujuk kepada pakar perundangan Islam untuk keterangan lanjut.

Untuk umat Islam dan bukan Islam usah takut dengan perundangan Islam selagi kamu tidak melakukan kesalahan jenayah yang berat kamu semua tetap selamat dari dikenakan hukuman.

Hanya mereka yang melakukan jenayah takut kena hukum.

Secara kesimpulannya bahawa undang-undang syariah yang terdapat dalam Al Quran dan Hadis adalah dari Allah Tuhan yang Maha Adil dan Lagi Maha Mengetahui.

Siapalah kita ini pandai-pandai mengatakan bahawa hukuman Allah tidak sesuai dan tidak adil untuk semua. Islam itu adil untuk semua. Jadi fikir-fikirlah dengan hati yang terbuka dan ikhlas tanpa prajudis terhadap Allah Tuhan pencipta sekelian alam.

Waula’huaq’lam