Wednesday, September 21, 2011

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan menggugurkan segera tuduhan bermotifkan politik terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kerana pandangannya mengenai sejarah bukan jenayah.

Gugur tuduhan, pandangan Mohd Sabu bukan jenayah


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Sept: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan menggugurkan segera tuduhan bermotifkan politik terhadap Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu kerana pandangannya mengenai sejarah bukan jenayah.

Penyelarasnya, Yap Heng Lung berkata, pihaknya juga menggesa kerajaan berhenti daripada menakut-nakutkan mana-mana individu yang menyuarakan pandangan yang berlainanan tentang sejarah rasmi dan ideologi.

Justeru, tegasnya Suaram mengutuk tindakan pendakwaan terhadap Mohamad Sabu di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas sebab mendatangkan khianat awam selepas beliau memberikan pandangan yang berbeza tentang insiden Bukit Kepong dalam sebuah ceramah pada 21 Ogos lalu di Padang Menora, Tasek Gelugor.

“Suaram berpendirian bahawa setiap individu mempunyai hak untuk bebas bersuara dan menyuarakan pandangan seperti yang termaktub dalam artikel 5 Perlembagaan Persekutuan dan artikel 19 dalam Deklarasi Antarabangsa Hak Asasi Manusia,” ujarnya.

Menurutnya, hanya seminggu selepas Pperdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan proses reformasi dalam pentadbirannya, namun kejadian pada hari ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius dengan proses reform yang disebut-sebutkannya.

Jelas sekali, ujarnya kerajaan Najib juga tidak menunjukkan inisiatif untuk menambahbaikkan kebebasan bersuara dan keadaan hak asasi manusia serta pihak polis yang sering menyalahgunakan kuasa.

Suaram juga, katanya mengutuk keras tindakan polis yang bertindak berat sebelah.

“Mengikut penjelasan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob bahawa polis mendakwa Mat Sabu disebabkan terdapat 1,000 laporan polis terhadap Mat Sabu dan sebab itu pihak polis bertindak demikian,” katanya.

Namun demikian, katanya polis tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang terlibat dalam penangkapan PSM EO6 walaupun terdapat 424 laporan polis yang telah dibuat oleh orang awam.

“Apakah tindakan polis terhadap laporan orang awam mengenai kenyataan berunsur perkauman oleh Presiden Perkasa selaku ahli parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali?

“Mengapa sikap berat sebelah ini diamalkan sedangkan pihak polis seharusnya bersikap neutral dan bertindak ke atas semua laporan polis tanpa mengira pihak yang terlibat?” soalnya.

Justeru, ujarnya Suaram berpendapat bahawa pendakwaan terhadap Mat Sabu atas kenyataannya mengenai sejarah adalah tidak betul dan tidak profesional.

Katanya, perbincangan dan dialog perlu diadakan untuk menyelesaikan konflik terhadap fakta sejarah secepat mungkin.