Wednesday, April 20, 2011

Ini merupakan kali ketiga Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memberi peruntukan tetap atau secara berkanun (Institutionalised allocation) kepada sekolah-sekolah rendah Tamil di Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2009, kita telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada sekolah Tamil dan angka ini telah meningkat kepada RM1.75 juta sejak tahun 2010.

RM1.75 juta diperuntukan kepada 28 sekolah Tamil di Pulau Pinang di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat


Ucapan Ketua Menteri Negeri Pulau Pinang YAB Tuan Lim Guan Eng

PERUNTUKAN BANTUAN KEWANGAN KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG

KEPADA SEKOLAH-SEKOLAH TAMIL, 2011




Upacara Penyampaian Cek Di Auditorium A, Komtar Pada 20 APRIL 2011


YB. Dato’ Mansor bin Othman,Timbalan Ketua Menteri 1

Y.B Prof. Dr. P. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II

Dr. K. Anbalakan Pengerusi J/K Sekolah-sekolah Tamil Negeri PP

Ahli –ahli EXCO, ADUN-ADUN, Ahli-ahli Parlimen

Ketua-ketua Jabatan

Ahli-ahli J/K Sekolah-sekolah Tamil


Ahli-ahli Pesuruhjaya Lembaga Wakaf Hindu Negeri PP


Guru-guru Besar dan Pengerusi PIBG Sekolah-sekolah Tamil Negeri PP

Para Media

Tuan-tuan,Puan-puan sekalian


Selamat pagi dan salam sejahtera.


1. Saya berasa amat bersyukur kerana di pagi yang mulia ini kita dapat bersama-sama berkumpul untuk menjalankan satu lagi tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita demi kebajikan rakyat Negeri Pulau Pinang.

2. Ini merupakan kali ketiga Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat memberi peruntukan tetap atau secara berkanun (Institutionalised allocation) kepada sekolah-sekolah rendah Tamil di Negeri Pulau Pinang. Pada tahun 2009, kita telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta kepada sekolah Tamil dan angka ini telah meningkat kepada RM1.75 juta sejak tahun 2010.


3. Berbeza dengan pentadbiran lalu di mana hanya apabila berlakunya pilihanraya atau pilihanraya kecil baru sekolah-sekalah Tamil diberi peruntukan. Kerajaan Pakatan Rakyat memberi peruntukan berinstitusi setiap tahun tanpa kira samada pilihanraya atau tidak.

Kesemua wakil-wakil Sekolah Tamil dapat menjadi saksi kepada kerajaan negeri selepas 3 tahun memperolehi peruntukan berturut-turut.

4. Dengan mengamalkan prinsip CAT, kita telah dapat mengelakkan banyak pembaziran dan melalui penjimatan inilah dapat disalurkan untuk kegunaan yang lebih bermakna, seperti peruntukan pembangunan kepada sekolah-sekolah Tamil yang kita lakukan hari ini.

Kerajaan Negeri amat berbangga kerana setelah 18 tahun di bawah pemerintahan lama, kerajaan terdahulu tidak dapat menyediakan tapak untuk pembangunan sekolah Tamil tetapi ianya dapat dilakukan dengan jayanya oleh Kerajaan Berjiwa Rakyat Pakatan Rakyat di mana sebidang tanah telah diberikan oleh pihak MPPP untuk pembinaan Sekolah Tamil Azad.

Saya juga difahamkan bahawa pelajar-pelajar Sekolah Tamil Azad telah mula belajar di premis baru pada 28 Mac 2011 baru-baru ini. Ini telah membuktikan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah membeza-bezakan rakyatnya. Nikmat pembangunan Pulau Pinang adalah untuk dikecapi oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik.



5. Sebagai kerajaan yang prihatin, kita sedar bahawa sekolah Tamil mempunyai banyak kekangan berbanding sekolah aliran lain seperti kekurangan bilik darjah, tiada tandas yang moden, kekurangan meja dan kerusi dan peralatan pengajaran yang lain. Selain itu, kebanyakan sekolah Tamil juga tidak mempunyai kemudahan untuk pendidkan komputer dan tadika.


Semua ini adalah kerana sekolah-sekolah ini tidak diberikan perhatian yang sewajarnya oleh Kerajaan Persekutuan sekian lamanya. Laporan yang disediakan oleh Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil Negeri Pulau Pinang telah menunjukkan hakikat ini dengan jelas. Atas kesedaran itulah pihak Kerajaan Negeri membuat keputusan untuk memberikan peruntukan secara berkanun tetap atau Institutionalised setiap tahun.



6. Perlu ditegaskan bahawa bantuan ini hanya bersifat bonus kerana sekolah dan pendidikan adalah tanggungjawab utama Kementerian Pelajaran. Tahun ini kerajaan negeri mewajibkan semua sekolah yang ingin mendapatkan bantuan kerajaan untuk membuktikan bahawa permohonan telahpun diketengahkan kepada kerajaan persekutuan. Ini adalah untuk memastikan permohonan dihantar agar Kementerian Pelajaran tidak ada alasan bahawa mereka tidak bagi wang kerana tidak menerima permohonan.



7. Untuk menangani kekangan tersebut, Timbalan Ketua Menteri II, YB Prof. Dr. P. Ramasamy, yang juga merupakan Ahli Exco bagi pendidikan, telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Sekolah-Sekolah Tamil yang diketuai oleh Dr. K. Anbalakan, diberi kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan kajian menentukan peruntukan kewangan dan mencadangkan tindakan-tindakan yang perlu diambil.



8. RM1.75 juta yang diagihkan pada tahun lepas telah digunakan dengan cermat oleh PIBG dan guru-guru besar dengan pembelian kerusi & meja, papan hijau, kipas, penghawa dingin, komputer dan sebagainya. Selain itu, kerja-kerja menaiktaraf bangunan seperti bilik darjah, kantin dan tandas juga telah dilakukan.

Saya juga diberitahu bahawa di SJKT Ladang Changkat telah membina tiga buah bilik darjah tambahan untuk menampung kadar peningkatan pelajar. Sementara itu, di SJKT Jalan Sungai pula sebuah dewan serbaguna telah dibina dan dewan itu juga disewakan untuk kegunaan awam bagi menjana kewangan sekolah.




9. Prestasi sekolah-sekolah Tamil di Pulau Pinang dalam UPSR tahun 2010 telah meningkat sedikit berbanding dengan tahun-tahun lepas. Kita berasa bangga kerana bantuan yang dihulurkan sedikit sebanyak telah membantu dalam pencapaian itu. Saya berharap pada tahun ini murid-murid sekolah Tamil akan dapat mencatatkan prestasi yang lebih baik lagi.



10. Saya percaya bahawa selaras dengan impian kerajaan negeri untuk menjadi negeri bertaraf antarabangsa, Pulau Pinang mestilah memimpin dalam semua bidang dengan cemerlang. Saya percaya dengan sokongan daripada kerajaan negeri, sekolah Tamil di Pulau Pinang boleh menjadi sekolah Tamil yang paling baik di Malaysia.



11. Gunakan kemudahan yang ada untuk terus perkasakan institusi pendidikan dan lahirkan lebih ramai cendekiawan negara dan jadikan segala kekurangan sebagai satu dorongan untuk membentuk jati diri yang cekal kerana langit tak selalunya mendung. Selagi Kerajaan Pakatan Rakyat menerajui tampuk kepimpinan Negeri Pulau Pinang, selagi itulah kebajikan rakyatnya akan diberi perhatian yang sewajarnya.

Sekian, terima kasih.