Thursday, April 28, 2011

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Lawyers For Liberty (LFL) mengecam penahanan seorang remaja berusia 19 tahun, Muhammad Arif Abu Semah di bawah Ordinan Darurat (EO) dan menuntut supaya beliau dibebas atau diberikan bantuan guaman.

Suaram, LFL kecam penahanan remaja di bawah Ordinan Darurat


KUALA LUMPUR: Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Lawyers For Liberty (LFL) mengecam penahanan seorang remaja berusia 19 tahun, Muhammad Arif Abu Semah di bawah Ordinan Darurat (EO) dan menuntut supaya beliau dibebas atau diberikan bantuan guaman.

Dalam satu sidang media yang diadakan tengahari tadi, Suaram dan LFL serta ahli keluarga Muhammad Arif membantah penangkapan tersebut yang membenarkan penahanan tanpa bicara selama 60 hari.

Mereka turut mengecam tindakan polis yang menyeksa dan memukul mangsa ketika dalam tahanan.

Dalam sidang media berkenaan, LFL diwakili peguam Fadiah Nadwa Fitri manakala Suaram pula diwakili penyelarasnya, E.Nalili.

Selain ibu kepada mangsa, yang dikenali Puan Maznah, turut hadir dalam sidang media berkenaan ialah ibu kepada dua lagi mangsa penahanan EO sebelum ini.

Mereka adalah ibu kepada Muhammad Faiz, 20 yang dikenali sebagai Puan Hamizai dan ibu kepada Nik Mohd Khairul Azfar, 20, iaitu Puan Badariah- keduanya berasal dari Terengganu.

Menurut latar belakang kes, Muhamad Arif ditangkap sekumpulan polis yang memperkenalkan diri mereka daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak 8 mac lalu.

Beliau ditahan dirumahnya di Selayang atas tuduhan mencuri motorsikal, tanpa sebarang pemberitahun kepada pihak keluarganya.


Arif kemudian di bawa ke beberapa buah balai polis, iaitu IPD Gmbak, IPD Kepong, IPD Jinjang dan Pusat Tahanan reman Bukit Jalil sebelum dibawa kepada Balai Polis Rawang.

Pada 21 Mac lalu, Arif telah memberitahu keluarganya beliau tidak bersalah, namun telah mengaku tuduhan ke atasnya dibuat secara paksaan oleh pihak polis.

Keluarganya merasakan Arif berada dalam keadaan ketakutan dan asyik melihat pegawai polis sebelum memberitahu sesuatu kepada pihak polis. Ini telah menimbulkan kesangsian kepada ibu bapanya,” jelas kenyataan media yang dikeluarkan Suaram dan LFL.


“Arif telah mengaku memang beliau dipukul dan diseksa dengan teruk. Beliau mengaku telah dipukul oleh polis di bahagian kakinya dengan menggunakan kayu yang panjang dan wayar. Menurut Arif, walaupun beliau telah meminta untuk bantuan perubatan kerana kesakitan di bahagian kaki, namun permintaan beliau tidak diendahkan sehingga kini,” ujarnya.



‘Polis minta wang tebusan’

Menurut Suaram dan LFL, keluarga Arif menerima satu panggilan telefon daripada seorang pegawai polis yang tidak dikenali yang meminta wang sebanyak RM15,000 sekiranya mereka mahu Arif dibebaskan.

“Kami Suaram dan LFL memandang serius terhadap perbuatan pegawai polis yang tidak bertanggungjawab ini yang menggunakan ugutan serta meminta wang sebanyak RM15000 adalah rasuah dan satu kesalahan yang berat.


‘Malah perbuatan polis untuk melakukan ugutan dan meminta rasuah adalah menjadi sesuatu yang amat luar biasa dalam sebarang penahanan tanpa bicara. Ini dengan jelas menunjukkkan penahanan Muhamad Arif adalah malafide dan berniat jahat,” ujarnya.


Menurut kenyataan itu lagi, isu utama dalam undang-undang pencegahan adalah penahanan tanpa bicara dengan menahan seseorang individu di bawah akta yang tidak memberikan peluang untuk mendapatkan perbicaraan dan proses membela diri.


“Tiada seorang pun bersalah sehingga dibuktikan di mahkamah adalah asas utama dalam persoalan penahanan tanpa bicara.

Katanya, sekiranya ia tidak dihormati, undang-undang tersebut dengan meudah akan disalahgunakan pihak polis dan kerajaan.


“Adalah amat memalukan bahawa kerajaan mengamalkan double standard dalam isu berhubung ISA, EO dan LLPK.

“Amalan kerahsiaan dan tidak bermaruah yang menyelubungi akta-akta penahanan tanpa bicara ini jelas bercanggah dengan prinsip keadilan, kebenaran dan ketelusan. Ia sekali lagi menggambarkan citra sebenar akta-akta ini yang sangat arbitrari dan tiada kena mengena dengan keselamatan negara,” ujarnya.


Justeru, Suaram dan LFL mendesak pihak polis supaya membebaskan Muhamad Arif serta merta atau dibicarakan di mahkamah terbuka selain beliau diberikan bantuan perubatan.


Mereka turut mendesak supaya Muhamad Arif dan keluarganya diberikan bantuan guamam dan sebarang undang-undang tanpa bicara seperti EO, ISA, dan LLPK dimansuhkan dengan serta merta.